Lelaki maut terkena letupan bunga api
WASHINGTON - Seorang lelaki maut akibat terkena letupan bunga api di Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Pihak bomba daerah Columbia berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11 malam (waktu tempatan) pada Jumaat yang melaporkan seorang lelaki cedera akibat bunga api di Brightwood Park.
"Kejadian berlaku apabila mangsa, Jose Tony Alvarez Umanzor, 33, menyalakan bunga api dan memegangnya di atas kepala sebelum tapak bunga api itu meletup ke bawah," kata bomba.
Katanya, akibatnya Umanzor mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepalanya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke sebuah hospital dan disahkan meninggal dunia.
Pegawai bomba D.C melalui Twitter berkata, jenis bunga api yang dimiliki mangsa tidak dibenarkan di daerah itu.
Kematian itu merupakan kejadian tragis kedua yang melibatkan bunga api sejak beberapa hari lalu di bandar tersebut.
Terdahulu, seorang budak lelaki berusia sembilan tahun kehilangan jari ketika bermain bunga api bersama adiknya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!