MHE 2019 platform bantu PKS masuk pasaran Jepun
KUALA LUMPUR - Ekspo Halal Malaysia 2019 (MHE 2019) akan menjadi platform untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menembusi pasaran Jepun menjelang Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.
Bertemakan “Malaysia ke Jepun untuk Olimpik 2020”, ekspo berkenaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24-26 Januari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, penganjur MHE 2019, SME Corporation Malaysia (SME Corp) berkata, acara berkenaan akan memaparkan 320 gerai pameran oleh usahawa eksport dalam pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, alat solek, kandungan halal, logisitk, bioteknologi, farmaseutikal serta penjagaan diri.
Antara tumpuan adalah Pocket Talk, yang akan menyaksikan wakil daripada sektor kerajaan dan swasta berkongsi pengetahuan serta kemahiran mengenai pasaran Jepun, selain aliran perniagaan terkini juga keperluan dalam menjalankan perniagaan di Jepun.
Antara acara tahun ini adalah ceramah oleh Bank Negara Malaysia berkenaan “Akses kepada pembiayaan untuk PKS”, diikuti dengan forum oleh EXIM Bank, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia dan SME Bank bertajuk “Pembiayaan untuk Eksport”.
Dua PKS Malaysia, Dr Aisha Solution dan Nani’s Frozen Food Products akan berkongsi pengalaman mereka memasuki pasaran Jepun dalam forum bertajuk “Berkongsi Perjalanan Perniagaan ke Jepun”.
Pocket Talk MHE 2019 juga meliputi topik seperti “ Senarai Semak Perniagaan ke Jepun” oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, “Membawa Produk Halal Melalui Fungsi Pintar” oleh BCA Group dan “Halal Boleh Dijual” oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Ia juga akan memaparkan ceramah “Pasaran dan Halal Jepun” oleh Muslim Professional Japan Association, “Pembiayaan Teknologi Halal” oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia dan “Memahami Produk Anda dan Pasaran untuk Tokyo 2020 dan Seterusnya” oleh Acrosx Japan Inc.
MHE 2019 dibuka kepada umum dan masuk adalah percuma. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!