Pelbagai barangan seludup dari Thailand dirampas
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas pelbagai barangan bernilai RM22,420 dari Thailand yang diseludup secara tidak sah ke negara ini dalam serbuan di pangkalan haram Syed Agil di sini malam tadi.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan jam 12.50 pagi itu ialah sejadah, tudung, seluar dan pakaian wanita, loyang serta pinggan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika serbuan dilakukan sekumpulan lelaki dilihat sedang asyik memunggah barang di tebing sungai Golok berhampiran pangkalan haram itu.
"Menyedari kehadiran anggota PGA Batalion 7 kumpulan lelaki itu terus bertindak meninggalkan kesemua barangan di atas jeti dan melarikan diri ke negara jiran," katanya.
Menurutnya, kesemua barangan rampasan itu dibawa ke markas operasi di Taman Bakti untuk pemeriksaan lanjut.
Azhari berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu mengandungi tudung, seluar dan pakaian wanita, sejadah, pinggan serta loyang.
"Siasatan awal mendapati barang-barang tersebut dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan," katanya.
Katanya, PGA Batalion 7 terus memperhebatkan kawalan di sempadan negara bagi memastikan jenayah rentas sempadan berjaya ditumpaskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!