Palsu tandatangan: Bekas penolong eksekutif Felcra dipenjara, didenda
KUANTAN - Bekas Penolong Eksekutif Felcra dihukum penjara tiga bulan dan didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan memalsukan tandatangan bagi menunaikan cek milik sebuah koperasi berjumlah RM34,920 pada empat tahun lalu.
Tertuduh, Norhisyam Hamidin, 42, dari Jerantut turut berdepan tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan.
Hukuman penjara ke atas tertuduh bermula dari tarikh dia disabitkan hari ini.
Hukuman diputuskan Hakim Mohd Ghazali Mohd Taib manakala pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang ketika itu bertugas di Felcra Ulu Tembeling Tengah dilantik menguruskan akaun dan kewangan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Gugusan Tembeling Tengah, Jerantut.
Bagaimanapun tertuduh didapati telah memalsukan tandatangan milik Yang Dipertua Koperasi, Naim Desa bagi tujuan menunaikan empat keping cek masing-masing berjumlah RM12,000, RM7,500, RM6,750 dan 8,670 milik koperasi berkenaan bagi tujuan peribadi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua cawangan bank di Jerantut dan Kuantan antara 14 November hingga 7 Disember 2016.
Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Tertuduh yang ditahan SPRM pada 27 November tahun lalu dihadapkan ke mahkamah hari ini dan mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan dikemukakan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui kesilapannya dan kesal dengan perkara yang terjadi.
Menurutnya, dia menempuhi kehidupan agak sukar selepas diberhentikan kerja kerana terpaksa menanggung keluarga termasuk empat anak termasuk seorang anak kurang upaya, seorang bakal melanjut pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) dan seorang lagi bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Dia yang kini sedang mencuba untuk memulakan kehidupan baharu merayu agar mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan atas kesalahan yang dilakukan itu.
Nadzirah memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!