Ibu tunggal rugi RM40,450 diperdaya kekasih baharu
KEPALA BATAS - Seorang ibu tunggal kerugian RM40,450 selepas diperdaya teman lelaki yang baharu dikenali di laman sosial Facebook sejak dua bulan lalu.
Wanita berusia 57 tahun itu dikatakan berkenalan dengan lelaki terbabit yang kononnya menetap di London tanpa menyedari dia sebenarnya terjerat dengan sindiket Love Scam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas berkenalan lelaki terbabit meminta mangsa membuka akaun bank kerana mahu meminjam akaun tersebut untuk urusan perniagaan di negara ini.
Menurutnya, mangsa yang percaya dengan kata-kata teman lelaki alam maya itu telah membuka akaun bank dan menghantarkan kad pengeluaran tunai automatik (ATM) ke alamat yang diberi.
"Selepas itu, suspek beritahu mahu menghantar hadiah hari jadi kepada mangsa yang mengandungi beg tangan, telefon bimbit dan wang tunai AS$.
"Mangsa yang teruja untuk terima hadiah tersebut tidak menyedari akan muslihat yang sedang dilakukan suspek sebelum dia menerima panggilan daripada ejen syarikat kurier yang meminta mangsa membuat bayaran ke dalam akaun bank diberi untuk terima hadiah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa yang masih tidak sedar taktik penipuan tersebut telah membuat empat kali bayaran ke dalam dua akaun bank diberi berjumlah RM40,450.
Katanya, wanita yang juga pesara swasta itu hanya sedar ditipu apabila ejen masih meminta mangsa untuk buat bayaran tambahan lagi.
"Mangsa yang mula curiga terus membuat semakan dengan pihak polis dan sedar mangsa telah ditipu scammer.
"Yakin dirinya sudah terperangkap sindiket penipuan Love Scam terus membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Noorzainy menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket penipuan dalam talian.
Katanya, jangan sesekali mudah percaya dengan kata-kata dan janji manis daripada individu yang baharu dikenali di laman sosial.
“Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!