Guardiola mahu Stones terus beraksi di Eitihad
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tetap mahukan pemain pertahanan, John Stones, 26 untuk terus berakdi bersama skuad The Citizens itu.
Guardiola berkata, biarpun sejak kebelakangan ini Stones dilihat semakin sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan hari ini, berikutan prestasi baik yang ditunjukkan Aymeric Laporte, Fernandinho, Nicolas Otamendi dan Eric Garcia.
Menurut Guardiola, masalah kecederaan Stones turut menjadikan pemain berkenaan semakin tersisih apabila hanya membuat 10 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan tidak pernah diturunkan langsung setelah saingan EPL kembali bersambung bulan lalu.
"Selama ini dia bergelut dengan masalah kecederaan. Sudah semestinya dia perlu kembali beraksi dengan pasukan kerana dia pasti bersedih kerana tidak berpeluang diturunkan dalam kesebelasan pasukan.
“Sudah tentu, kita mahu dia (Stones) kembali beraksi dan mampu bermain tanpa mengalami kecederaan untuk tempoh dua atau tiga bulan selepas ini. Bagaimanapun, kami hanya mahukan yang terbaik untuknya nanti," katanya.
Bekas pemain Everton berusia 26 tahun itu yang berhijrah menyertai City pada 2016 lalu adalah antara pemain yang beraksi pada separuh akhir Piala Dunia, Russia dua tahun lalu.
Setelah empat musim di Eitihad, timbul khabar angin yang mengatakan Stones berkemungkinan akan kembali menyarung jersi Everton pada musim panas nanti.
Sementara itu menurut Guardiola, sebarang perbincangan mengenai urusan perpindahan Stones hanya akan dibincangkan pada penghujung musim kelak.
Katanya, Stones sewajarnya terus beraksi di Etihad dan membantu City untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan.
"Selagi saya di Eitihad, Stones juga akan terus berada di sini, melainkan jika dia terus-terusan mengalami kecederaan. Bagi saya, sebagai pemain dia adalah seorang yang profesional dan penuh keyakinan.
"Selain itu dia juga turut konsisten dalam permainannya dan kriteria itu banyak membantunya untuk menjadi seorang pemain pertahanan yang baik di Eitihad," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!