AMK Selangor usul ADUN Kota Anggerik dilantik exco

Mohd Najwan Halimi
Mohd Najwan Halimi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor sepakat mengusulkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari supaya melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi, sebagai Exco Kerajaan Negeri yang baharu.

Pengarah Komunikasi AMK Negeri Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata, dalam mesyuarat diadakan semalam, Majlis Pimpinan AMK negeri turut sepakat menyokong pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk berusaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Menurutnya, kepimpinan AMK Selangor diketuai Mohd Najwan juga membuat ketetapan memperkukuh organisasi AMK di peringkat cabang.

"Ini khususnya dalam penyusunan jentera pilihan raya bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tergempar.

"Kami juga sepakat menggerakkan inisiatif menambah keanggotaan di peringkat AMK cabang khususnya dalam kalangan golongan belia antara usia 18 dan 35 tahun," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan AMK Selangor melantik Ketua Skuad AMK Negeri, Awalluddin Shariff sebagai Penyelaras AMK Cabang Ampang bagi tujuan memudahcara gerak kerja serta koordinasi bersama AMK Negeri.

Majlis pimpinan itu turut melantik Mohammad Ammirul Azahar dan Abdullah Sani Abu, masing-masing sebagai Timbalan Ketua Penerangan AMK Negeri dan Timbalan Ketua Skuad AMK Negeri.

Untuk rekod, kerajaan negeri kini mempunyai dua kekosongan kerusi Exco di bawah portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar serta Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Amirudin dilapor berkata, kekosongan kerusi berkenaan akan diisi selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!