Moratorium bayaran balik pinjaman cecah RM51.4 bilion

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan di bawah Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bermula sejak 1 April lalu berjumlah RM51.4 bilion setakat Isnin lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM17.9 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala RM33.38 bilion dimanfaatkan oleh rakyat.

Menurutnya, walaupun hanya bersifat sementara, pemberian moratorium membantu golongan terjejas terutamanya yang kehilangan sumber pendapatan dan untuk isi rumah meneruskan kehidupan tanpa perlu risau memikirkan komitmen hutang.

"Ini dapat dibuat dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapat khidmat nasihat," katanya semasa menyampaikan Laporan ke-12 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi pelaksanaan Pakej Prihatin dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman Facebooknya hari ini

Menurutnya, bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) antara 26 Jun hingga 6 Julai, kira-kira 30,000 penerima BPN menerima bayaran di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Sejumlah 140,000 individu bujang dan isi rumah pula menerima bantuan BPN berjumlah RM120 juta.

Mengenai insentif tunai kepada pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancongan, beliau berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada 28,962 pemandu teksi berjumlah RM17.4 juta buat penerima fasa pertama.

Bagi penerima fasa kedua, tarikh permohonan rayuan ditutup pada 1 Julai lalu dan sedang disemak.

Artikel Berkaitan:

"Geran Khas Prihatin (GKP) yang dibayar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mikro berjumlah RM1.634 bilion dan memanfaatkan 544,632 PKS Mikro.

"Bagi Program Upah Subsidi, sebanyak RM7.15 bilion diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.48 juta pekerja," katanya.

Sehingga tempoh yang sama, Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meluluskan 10,528 permohonan bernilai RM70.4 juta.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS, beliau berkata, permohonan yang diluluskan oleh bank tempatan adalah sebanyak RM8.7 bilion yang akan memanfaatkan 21,104 PKS.

Di bawah Skim Kredit Mikro BSN, sebanyak 8,737 permohonan daripada peniaga mikro diluluskan bernilai RM296.99 juta dan Tekun Nasional meluluskan 25,278 permohonan bernilai RM192.98 juta.

Tengku Zafrul turut berkongsi mengenai pemberian bantuan tunai secara sekali seperti bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi, pesara kerajaan dan pemandu e-hailing serta teksi melibatkan RM14.3 bilion. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!