1MDB: Mahkamah benarkan lucut wang MCA Pahang
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang MCA Pahang sebanyak RM835,258.19 yang dikaitkan dengan aktiviti haram 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu dengan alasan pemohon (pendakwaan) berjaya membuktikan wang itu adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, hasil siasatan menunjukkan pembayaran dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada responden menerusi cek berjumlah RM3 juta adalah berkaitan dengan kesalahan diperuntukkan mengikut Akta SPRM.
Katanya, responden juga tidak menafikan ada menerima cek yang dikatakan derma daripada Najib, malah mendakwa wang RM835,258.19 itu adalah baki yang tinggal selepas dibelanjakan.
“Selepas meneliti semua aspek, saya mendapati pihak pemohon berjaya membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram, maka saya membenarkan permohonan mereka untuk melucut hak wang MCA Pahang,” katanya.
Pada 21 Jun tahun lalu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, SPRM memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang daripada 41 responden berjumlah RM270 juta yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
MCA Pahang antara 41 responden berkenaan.
Menurut Latheefa, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala peguam, Datuk Ben Chan dan Ken Low Hai Liang mewakili MCA Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!