Petisyen: Sime Darby Plantation bimbang tuduhan dihadapinya
KUALA LUMPUR - Sime Darby Plantation Bhd (SDP) meluahkan kebimbangan terhadap tuduhan dalam petisyen yang dikemukakan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS).
Petisyen dikemukakan pada 20 April lalu itu untuk menyekat produk minyak sawit dan minyak sawit yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya oleh buruh paksa dan buruh kanak-kanak dimiliki SDP serta syarikat gabungannya yang diumumkan Liberty Shared semalam.
SDP berkata, tuduhan itu adalah berat dan bertentangan dengan komitmen dinyatakan pengeluar minyak sawit seperti terkandung dalam Piagam Hak Asasi Manusia dan Piagam Pertanian Bertanggungjawab.
"Kami percaya selama bertahun-tahun kami membuat kemajuan dalam menambah baik amalan melibatkan pekerja kami di lapangan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Usaha kami dapat dilihat dalam pelbagai kenyataan kami keluarkan termasuk Laporan Kemampanan 2019 terbaharu kami yang diterbitkan pada Mei, 2020.
"Kami akui cabaran dan kerumitan melibatkan rantaian bekalan di seluruh industri dalam melaksanakan komitmen kami iaitu Dasar 'Tiada Penebangan Hutan, Tiada Gambut dan Tiada Eksploitasi' (NDPE),” kata SDP dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, syarikat tersebut komited untuk membasmi sebarang perilaku ketidakpatuhan dengan melakukan tindakan pembetulan segera dan sesuai sekiranya ia berlaku.
Menurut SDP, petisyen itu dikemukakan tanpa mendapat maklum balas daripada syarikat.
"Ketika ini, SDP hanya memiliki akses kepada kenyataan ringkas petisyen itu yang menyatakan isu dibangkitkan tanpa sebarang perincian mengenai temubual yang dijalankan.
"Dalam semangat keterbukaan, ketelusan dan kerjasama SDP, kami berhasrat untuk berhubung dengan Liberty Shared untuk lebih memahami dakwaan tersebut secara terperinci untuk membolehkan kami melakukan penyiasatan menyeluruh dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami percaya ia akan membantu memperkukuhkan amalan kami di peringkat antarabangsa untuk memastikan kami menghormati Hak Asasi Manusia di lapangan dalam semua operasi kami,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!