Alkisah si raja buah...

A
A
A

TERUS terang saya bukan kaki durian. Sebab itu ketika semua orang bercakap mengenainya sekarang, saya macam tidak kisah sangat.

Memang ada orang sanggup berbaris panjang dalam hujan – lupa penjarakkan sosial – hanya untuk memilih buah durian terbaik.

Malah, ada yang semangat dan sentimen kedurianannya terlalu tinggi, sehingga sanggup berkelahi untuk berebut raja buah yang popular itu.

Sebenarnya secara peribadi menjadi satu kesusahan apabila isteri meminta dibelikan buah durian, lebih-lebih lagi jika dia berpesan supaya memilih yang terbaik.

Saya lebih rela sekiranya dia meminta dibelikan tudung bawal atau kain batik terbaik di mana-mana gedung pakaian daripada memilih durian.

Alkisah hujung minggu lalu, saya pun melupakan penjarakkan sosial, berkerumun di gerai menjual raja buah itu di Kampung Datuk Harun, Petaling Jaya.

Memang macam pesta. Ada yang mencium dan menggoncang-goncang untuk memilih buah terbaik. Ada yang tidak sempat bawa pulang, makan di situ juga.

Masalah saya ialah hendak mencari buah terbaik, dengan harga berpatutan. Setiap penjual yang saya temui mendakwa buah dia paling baik.

Artikel Berkaitan:

Ada D24 gred premium, harga sekian-sekian. Ada musang king, harga sekian-sekian. Ada durian Batu Kurau, harga sekian-sekian.

Mana saya kenal jenama dan gred yang dinyatakan! Tetapi saya terkejut ada durian terbaik ditawarkan pada harga RM35 perkilo.

“Ni saya pilihkan yang terbaik, sebiji dekat dua kilo, abang bayar RM60 kira beres, isi tebal macam anak kucing tidur....”

RM60 hanya untuk sebiji durian! Tidak munasabah, tetapi ada raja musang yang dijual pada harga sehingga RM100 per biji.

Patutlah Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan, mencadangkan pihak kerajaan campur tangan memperkenalkan harga siling buah durian klon mengikut gred.

Saya akhirnya tunduk pada D24 @ RM18 per kilo, kira amat berpatutan. Saya membayar RM40 untuk dua biji yang menurut penjualnya ‘pasti berbaloi-baloi’.

Untuk meyakinkan saya, kedua-dua biji durian tersebut ditokek dengan parang, nampak isinya kuning dan tebal dirasa dengan jari telunjuk.

Apabila tiba di rumah, lain pula ceritanya! Pertama, yang saya beli itu bukan jenis D24. Menurut isteri yang memang kaki durian, yang saya beli itu baik sedikit sahaja daripada durian kampung biasa.

Kedua, isi yang tadi nampak tebal kekuningan apabila dibuka di rumah ternyata ada yang tidak baik, keras macam tidak masak. Sudahlah begitu bijinya besar, isinya tipis.

Sahlah, saya kena tipu! Kopak RM40 hanya untuk dua biji D24 auta yang entah apa-apa. Sebenarnya saya hanya membeli kulit durian, bukan isi durian.

Bagaimanapun, nasib saya jauh lebih baik daripada sahabat saya yang merupakan kaki durian. Dia membeli durian secara longgok, lelong.

Penjual kata tidak payah buka di gerai, bawa balik seraga, pasti puas hati. “Sekiranya tidak boleh makan, boleh buat tempoyak. Itulah untungnya beli pakai raga!”

Lagipun penjual memberi jaminan, sekiranya ada yang busuk boleh dikembalikan dan akan diganti dengan buah yang baik.

Tiba di rumah lain juga ceritanya! Memang durian seraga itu ada yang boleh dimakan tetapi lebih banyak yang rosak dan isinya berulat.

Lebih separuh tidak boleh dimakan atau dibuat tempoyak sebab berulat. Dia mengumpulkan durian yang tidak boleh dimakan itu untuk dipulangkan kepada penjual, malam itu juga.

Betul seperti yang dijanjikan, durian yang rosak itu diganti dengan yang lain tanpa bayaran tambahan. Tetapi tiba di rumah, cerita yang sama berulang!

Durian ganti yang baharu diambil dari raga baharu pun banyak yang buruk dan tidak boleh dimakan. Dia mengangkut durian buruk itu untuk ditukar semula dengan yang baharu.

Tetapi apabila tiba di gerai berkenaan, sudah larut malam, penjual sudah pulang. Akhirnya sepanjang malam itu si kaki durian tidur dalam timbunan durian yang tidak boleh dimakan.

Saya percaya sekiranya durian tersebut dipulangkan kepada penjualnya esok hari, belum pasti dia mendapat ganti durian terbaik. Lebih-lebih pun penjual akan berkata: “Kita jual durian dari kebun, mana kita tahu isinya baik atau buruk....”

Pembeli memang selalu menjadi mangsa!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!