Tok Mat bakal cabar Zahid?
TIDAK perlu dinafikan lagi, 3.7 juta ahli UMNO hari ini berbelah bahagi tentang status Perikatan Nasional (PN) dan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ada yang menyokong atas dasar penyatuan parti-parti Melayu-Islam, ada yang menentang atas dasar keperluan UMNO untuk kekal sebagai parti paling dominan di Malaysia.
Hakikatnya, sebagai sebuah parti politik dengan anggota yang paling ramai di Malaysia, tidak menghairankan apabila ramai ahli UMNO berasa kurang selesa dengan usaha mengekalkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri PN menjelang PRU15.
Bahkan saat ini pun UMNO ‘berkorban’ jawatan Perdana Menteri dengan menyokong Muhyiddin meskipun hakikatnya UMNO memiliki jumlah kerusi yang hampir lima kali ganda lebih banyak berbanding Bersatu di Dewan Rakyat.
Kem yang menolak ini juga menentang keras kemungkinan UMNO untuk mengorbankan kerusi kepada parti Bersatu pimpinan Muhyiddin dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Malah veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad sendiri mendedahkan kerusi Parlimen Johor Bahru yang dianggap sebagai kerusi tradisi yang ditandingi UMNO bakal diserahkan kepada kem Azmin Ali dalam PRU15 akan datang.
Antara pemimpin UMNO yang secara terbuka mempersoalkan pendirian parti yang menyokong pengekalan Muhyiddin sebagai calon PM pada PRU15 ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Shahrir Samad; ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar.
Bahkan, Mohamed Khaled bertindak menamakan lima calon yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon PM daripada UMNO – Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurut beliau, kesemua lima orang pemimpin itu berpotensi dan merupakan Prime Minister's material, sambil mengingatkan UMNO agar jangan ‘terburu-buru mengehadkan pendiriannya’.Cadangan
Untuk rekod, dalam persaingan jawatan Presiden UMNO sebelum ini, dua daripada lima nama yang dicadangkan oleh Mohamed Khaled itu telah dikalahkan oleh Datuk Seri Dr Zahid Hamidi iaitu Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Khairy Jamaluddin. Secara khusus, Ku Li turut menyuarakan pandangan yang kontra dengan pendirian semasa parti untuk terus bekerjasama dengan Bersatu menjelang PRU15.
Dalam temu bual bersama Channel News Asia (CNA), Ku Li menegaskan: “Bersatu tak sepatutnya ada pun. Mereka (ahli parti UMNO) berasa bahawa ia (kerjasama) harus berlaku hanya dalam kalangan Muafakat (Nasional) Pas, UMNO dengan rakan-rakan tradisi Barisan Nasional (iaitu) MCA dan MIC.”
Ketika ditanya apakah beliau percaya UMNO akan terus menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dalam PRU akan datang, Ku Li menjawab: “Saya tak rasa begitu. Susunan dalam Perikatan Nasional hanyalah semata-mata demi memastikan kestabilan. Bila kita berdepan dengan PRU, itu satu situasi yang berbeza.”
Meskipun Ku Li jelas berbeza pandangan dengan pimpinan parti, namun rekod kekalahan beliau kepada Zahid sebelum ini memberi impak kepada peluang beliau untuk tampil sekali lagi mencabar jawatan Presiden UMNO.
Keadaan sebaliknya berbeza dengan seorang lagi pemimpin UMNO yang berpengaruh, iaitu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat). Seperti mana Ku Li, Tok Mat juga lebih cenderung kepada usaha memperkasakan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas, bukannya PN dengan Bersatu.
Rekod Tok Mat juga cemerlang ketika memangku jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN sebelum ini, lantas dilihat berupaya untuk mengubah trajektori UMNO daripada berkorban kepada Bersatu dan kembali menjadikan UMNO sebagai parti yang dominan.
Soalnya kini, jika UMNO di bawah pimpinan Zahid kekal dengan pendirian menyokong Muhyiddin dan berkorban kerusi kepada Bersatu dan kem Azmin, adakah Tok Mat akan bersedia untuk tampil mencabar jawatan Presiden UMNO?
*Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!