Jangan takut berkelana ke luar negara

Luqman (kiri) bersama pemain skuad negara ketika Sukan Sea Filipina 2019. Foto: FB FAM
Luqman (kiri) bersama pemain skuad negara ketika Sukan Sea Filipina 2019. Foto: FB FAM
A
A
A

PEMILIK Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan menegaskan membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa sentiasa menjadi agenda paling utama sepanjang penglibatannya dalam dunia bola sepak.

Ini kerana Vincent dalam cita-citanya mahu menyaksikan lebih ramai pemain tempatan bermain di luar negara selepas mempromosikan nama Malaysia.

Itulah reaksi Vincent ketika ditanya mengapa beliau tidak melibatkan diri dengan Liga Malaysia (Liga-M) atau apa cara beliau membantu bola sepak Malaysia.

Jelasnya, beliau telah membantu promosi Malaysia dengan mempamerkan slogan Visit Malaysia di dada jersi Cardiff kini lebih berminat eksport lebih ramai pemain tempatan bermain di luar negara.

“Saya telah beri segalanya nama baik Malaysia di pentas antarabangsa sepanjang 10 tahun nama Malaysia di jersi Cardiff. Itu sudah amat besar promosi bagi saya kepada negara tercinta ini.

“Selain itu, impian saya adalah untuk membawa lebih ramai pemain Malaysia keluar bermain atau sekurang-kurangnya bermain kelab saya sendiri.

“Saya sebenarnya ikhlas mengatakan berdasarkan pengalaman, saya melihat pemain Malaysia ramai yang takut ke depan dan keluar bermain di arena luar negara dan ini yang saya dapat kongsi dalam saya sepanjang 10 tahun sebagai pemilik kelab.

“Saya sudah lalui pengalamannya untuk berikan bantuan kepada satu dua pemain. Tak perlu saya sebut nama tapi masalah mereka adalah kekuatan mental di mana sering rindu negara asal, keluarga dan isu-isu lain,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Vincent berharap Luqman Hakim Shamsudin yang menyertai satu lagi kelab miliknya, KV Kortrijk (KVK) menjadi contoh kepada pemain lain untuk lebih berani bermain di luar negara.

Katanya, beliau percaya skuad kebangsaan lebih maju pada masa depan jika lebih ramai pemain tempatan bermain di luar negara.

“Saya ingin lihat perubahan itu dan saya ingin mulakan dengan Luqman dan inilah cara saya nak bantu bola sepak Malaysia. Saya tidak hanya mahu Luqman seorang sahaja (bermain bersama KVK) selagi saya berada dalam dunia bola sepak.

“Ini kerana saya mahu melihat lebih ramai lagi pemain Malaysia yang mempunyai bakat tertentu untuk dibawa ke arena luar negara. Saya seorang patriotik dan ramai tak tahu.

"Saya hendak tengok pemain Malaysia berjaya di luar negara dan boleh bantu naikkan kualiti bola sepak negara pada masa depan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!