Semua ahli Parlimen perlu tumpu masalah rakyat

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua ahli Parlimen yang bakal bersidang pada 13 Julai ini di Dewan Rakyat diminta menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini terutama pengangguran daripada terus berbalah dalam isu politik.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, isu pengangguran perlu ditangani segera dengan bijak bagi membantu rakyat yang berada dalam kesusahan akibat Covid-19.

“Bila saya turun padang bertemu rakyat, saya dapati ramai anak muda kita yang menganggur. Itu belum termasuk siswazah yang akan menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi dan juga lepasan sekolah.

“Selesaikan masalah rakyat dahulu, tak perlu berbalah siapa yang layak jadi Perdana Menteri atau sibuk hendak menjatuhkan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai itu menegaskan, jika kesemua ahli Parlimen bersifat matang, mereka sepatutnya menyelesaikan masalah pengangguran dan kemelesetan ekonomi yang bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia tetapi di seluruh dunia.

Menurutnya, kestabilan politik amat penting untuk menarik kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara agar pemulihan ekonomi dapat berlaku dengan pantas.

Bagaimanapun, Raja Nong Chik berkata, seandainya pembangkang tidak boleh terus bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), penyelesaian terbaik adalah dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Walaupun hayat Parlimen masih berbaki tiga tahun, tapi kalau tak boleh bekerjasama, lebih baik buat PRU15 sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai usul pencalonan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu menggantikan penyandangnya, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, Raja Nong Chik menyifatkan ia keputusan yang tepat.

Kata beliau, tokoh yang lebih dikenali dengan panggilan Art Harun itu seorang yang berpendirian neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Bila ada perubahan kepimpinan kerajaan, memang perlu ada perubahan di Dewan Rakyat terutama Speaker dan Timbalan Speaker. Apa yang kerajaan PN buat sekarang ini memang tepat pada masanya. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menunjukkan kebijaksanaannya apabila memilih Art Harun sebagai calon Speaker yang baharu.

“Ini kerana seperti yang kita ketahui, pada era pentadbiran PH dahulu pun mereka melantik Art Harun menerajui SPR kerana kredibilitinya,” kata beliau.

Menjawab mengenai kerisauan segelintir pihak tentang keupayaan Azhar untuk mengawal perbahasan dalam Sidang Dewan Rakyat kerana tidak mempunyai pengalaman, Raja Nong Chik berkata, beliau yakin bahawa adik Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun itu mampu menggalas tugasnya dengan baik.

“Saya yakin dia mampu pikul amanah ini sebab Speaker sekarang pun pada awalnya tidak berpengalaman. Art Harun mempunyai latar belakang seorang peguam, beliau mampu jalankan tugasnya sebelum ini.

“Walaupun tiada pengalaman mengendalikan Dewan Rakyat, Art Harun ada pengetahuan undang-undang yang akan membantunya mengendalikan perjalanan dewan dengan baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!