Cuepacs sambut baik langkah kerajaan
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik langkah kerajaan yang mahu mengkaji semula paras garis kemiskinan di Malaysia ketika ini.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, usaha itu wajar disokong oleh semua pihak kerana ia memberi kebaikan kepada rakyat terutama berkaitan polisi yang akan diperkenalkan kerajaan untuk membantu rakyat yang tergolong dalam kumpulan sasaran.
Beliau berkata, ukuran paras kemiskinan RM980 sebulan ketika ini sememangnya tidak lagi relevan dan langkah untuk mengkaji semula paras kemiskinan adalah sangat perlu.
“Cuepacs menyeru kakitangan kerajaan supaya meningkatkan kemahiran masing-masing dalam usaha membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negara.
“Selain itu, dalam kajian tersebut, kerajaan juga perlu memberi penekanan terhadap rakyat yang berada hampir dengan paras garis kemiskinan kerana golongan tersebut boleh terjerumus menjadi miskin sekiranya berlaku kejadian di luar kawalan pada bila-bila masa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata, golongan penjawat awam juga perlu diberi perhatian sewajarnya bagi mengelakkan usaha kerajaan mengukuhkan kualiti hidup rakyat sukar dilaksanakan.
Menurutnya, sekarang ini bukanlah masa untuk rakyat menoleh ke belakang tetapi bersama-sama bergerak ke hadapan agar agenda kerajaan untuk mensejahterakan rakyat dapat dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, kerajaan perlu menyediakan kemahiran yang sewajarnya kepada rakyat dalam mengakses ekonomi terbuka ketika ini.
Jelasnya, usaha mengeluarkan rakyat daripada hidup di bawah paras garis kemiskinan perlu ditingkatkan bersama-sama dengan usaha meningkatkan kehidupan rakyat supaya jauh daripada paras garis kemiskinan.
“Jika kita lihat rata-rata rakyat ketika ini sukar mendapatkan pekerjaan yang berada di atas paras gaji minimum, manakala gaji asas penjawat awam masih lagi RM1,200 sebulan.
“Ekonomi terbuka yang tidak mempunyai sempadan pemisah ketika ini wajar diambil peluang oleh semua pihak tanpa didominasi pihak tertentu sahaja.
“Internet dan digitalisasi merupakan satu keperluan untuk menghadapi cabaran ekonomi yang mendatang, maka program-program ke arah pemantapan rakyat dalam hal ini perlu diberi penekanan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Cuepacs berharap hasil dapatan daripada kajian tersebut dapat dilaksanakan untuk kebaikan rakyat dan tidak mengabaikan golongan penjawat awam di negara ini terutama apabila ia telah diumumkan oleh kerajaan untuk dilaksanakan.
“Ketika ini kita lihat banyak perkara yang diumumkan untuk dilaksanakan oleh kerajaan tetapi tidak dapat dilakukan tanpa alasan yang kukuh.
“Sektor perkhidmatan awam juga terkesan apabila banyak perancangan yang diumumkan untuk meningkatkan kualiti sektor awam tidak dapat dilaksanakan walaupun ia sebenarnya boleh dilaksanakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!