Harap sempadan Malaysia-Singapura dibuka segera

Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer dari Tambak Johor ke Kompleks Pemeriksaan Kastam Woodlands, Singapura berikutan perkhidmatan bas atau teksi masih tidak dibenarkan beroperasi. Gambar kecil: Intheran
Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer dari Tambak Johor ke Kompleks Pemeriksaan Kastam Woodlands, Singapura berikutan perkhidmatan bas atau teksi masih tidak dibenarkan beroperasi. Gambar kecil: Intheran
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pekerja Malaysia di Singapura berharap rundingan untuk membuka semula sempadan Malaysia-Singapura akan dapat dipercepatkan termasuk semua urusan keluar masuk ke republik itu dipermudahkan.

Ketika ini prosedur yang dikenakan ketat dan hanya mereka yang bekerja terutama dalam sektor perkilangan penting dibenarkan masuk tetapi terhad dan dilakukan secara berperingkat.

Seorang pekerja di Singapura, K Intheran, 45, dari Pangsapuri Larkin di sini berkata, dia mula memasuki Singapura hari ini selepas mendapat arahan pihak kilangnya tetapi perlu mematuhi banyak syarat sebelum dibenarkan bekerja.

"Saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dikuarantin selama 14 hari di Singapura. Selepas negatif ujian koronavirus (Covid-19) dan tamat tempoh kuarantin, barulah saya dibenarkan mula bekerja tetapi perlu mematuhi banyak syarat.

"Saya dan pekerja lain yang dipilih untuk mula bekerja diarahkan berkumpul jam 6.30 pagi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini sebelum kaunter kastam dibuka jam 7 pagi.

"Selepas pemeriksaan saya yang lain terpaksa berjalan kaki dari Tambak Johor ke Kompleks Pemeriksaan Woodlands, Singapura sejauh kira-kira empat kilometer kerana perkhidmatan bas atau teksi masih tidak dibenarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Isnin lalu Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berharap rundingan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura mengenai pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura turut memberi keutamaan kepada mereka yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di republik itu.

Menurut Hasni, pada masa ini rundingan tertumpu pada kategori pertama iaitu mereka dalam sektor profesional, bisnes dan peribadi, manakala kategori kedua pula melibatkan 25,000 rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura ekoran penutupan sempadan sejak penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Johor berharap pada peringkat awal, pekerja kategori pertama dan lebih 20,000 pekerja kategori kedua dapat pulang dan ulang-alik ke Singapura untuk bekerja.

Keseluruhan kira-kira 200,000 pekerja dari negara ini yang berulang- alik harian ke Singapura.

Sementara itu, seorang lagi pekerja di Singapura, Zamri Noh, 38, dari Taman Universiti, Skudai berkata, kilang tempatnya bekerja masih belum mengarahkannya untuk kembali bekerja sejak penutupan sempadan hampir empat bulan lalu.

"Saya difahamkan mereka yang dipanggil bekerja, kos untuk kuarantin berjumlah SG$2,000 atau kira-kira RM6,000 ditanggung majikan tetapi jika didapati positif Covid-19, akan dilanjutkan 14 hari lagi tetapi tidak pasti masih kos ini ditanggung majikan atau sendiri.

"Dimaklumkan hanya kilang-kilang yang penting diberikan kebenaran untuk memanggil pekerja dari Malaysia kembali bekerja kerana ada separuh daripada pekerja kilang terbabit merupakan rakyat Malaysia," katanya.

Dia yang berasal dari Kota Tinggi berharap pembukaan sempadan akan dapat dipercepatkan dengan beberapa kelonggaran perlu diberikan untuk memudahkan pekerja Malaysia berulang- alik setiap hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!