Lori rempuh lori dalam sekatan
TANJUNG MALIM - [DIKEMASKINI] Seorang pemandu maut manakala seorang anggota polis yang sedang menjalankan pemeriksaan kenderaan patah tulang rusuk kiri selepas dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan di Kilometer 383.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) berhampiran Slim River di sini awal pagi tadi.
Kejadian sekitar jam 2 pagi itu berlaku ketika anggota berusia 34 tahun yang bertugas sebagai peronda lebuh raya itu menahan sebuah lori tiga tan muatan bungkusan bagi tujuan pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendi Sulaiman berkata, ketika anggota menghampiri pemandu lori itu, datang sebuah lagi lori dari arah sama hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.
"Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan bergerak ke hadapan hampir 16 meter.
"Pada masa sama, anggota dan pemandu lori terseret ke tiang lampu di bahu jalan," katanya.
Menurutnya, pemandu lori terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anggota peronda mengalami kecederaan patah tulang rusuk kiri dan telah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan selanjutnya.
"Siasatan lanjut kini dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Mangsa maut dikenali Mohd Hairi Zainal Abidin, 42, sementara kelindannya berusia 39 tahun terselamat.
Turut terselamat pemandu lori dan kelindan sebuah lagi kenderaan masing-masing berusia 46 dan 35 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!