Generasi kedua Sungai Koyan merintih
LIPIS - Peningkatan taraf ekonomi amat ditagih bagi pembangunan di Dun Jelai yang disifatkan masih ketinggalan berbanding kawasan-kawasan lain.
Rintihan itu disuarakan oleh generasi kedua Felda Sungai Koyan yang menyifatkan apa yang dinikmati sekarang masih belum dapat membantu mereka.
Menambahkan lagi kesulitan apabila mereka mendakwa didiskriminasikan oleh pihak tertentu kerana perbezaan ideologi politik masing-masing.
Bagi Azman Noruldin, 58 mendakwa peluang ekonomi terhad buat mereka yang masih terpaksa bergantung kepada ibu bapa mereka.
Menurutnya,mereka menagih pembangunan yang dapat membantu generasi seperti mereka meningkatkan taraf hidup.
"Ada yang masih bergantung kepada ladang-ladang yang dimiliki oleh ibu bapa kerana apa sahaja yang kami mampu buat.
"Kalau dibuka kilang atau institusi pengajian dapat membuka lebih banyak peluang kepada kami dan anak-anak nanti,"katanya dalam sidang media bersama generasi kedua Felda terbabit hari ini.
Sementara itu, Nor Afendi Daud,54 memberitahu kemudahan perbankan juga ditagih buat keperluan kira-kira 13,000 penduduk terdiri Gugusan Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3,kampung tradisi dan perkampungan Orang Asli.
Menurutnya, buat masa ini di kawasan itu hanya terdapat sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan deposit wang(CDM) dan ia didakwa tidak mencukupi buat kegunaan penduduk.
"Kami terpaksa pergi ke Lipis atau Raub jika mesin-mesin tersebut tidak berfungsi dan ini menyulitkan keadaan terutamanya ketika waktu kecemasan,"dakwanya.
Malah masalah perumahan untuk generasi baharu juga diminta diselesaikan segera kerana lebih lima tahun projek perumahan buat mereka masih terbengkalai.
"Buat masa ini masih ramai yang terpaksa menumpang di rumah ibu bapa, "dakwanya lagi.
Ujarnya menambahkan lagi kesukaran timbul diskriminasi dalam pengagihan seperti bantuan persekolahan anak-anak kerana perbezaan ideologi politik oleh pihak tertentu.
Manakala bagi Siti Asiah Sotal, 40 dengan pembangunan terutamanya dari aspek ekonomi dapat membantu mereka dan generasi seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!