Penubuhan Muafakat Nasional ada udang di sebalik batu: Khir Toyo
SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa hubungan UMNO dan Pas melalui perpaduan ummah serta terbinanya Muafakat Nasional (MN), ada udang di sebalik batu.
Sambil menyifatkan hayat Barisan Nasional (BN ) kini di hujung tanduk, beliau mendakwa desakan Pas supaya menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai MN dilihat beliau sebagai gerakan awal untuk memecahkan penguasaan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu.
Desakan tersebut juga dakwanya, tidak lebih daripada memerah limau ke atas luka dialami UMNO akibat penubuhan Bersatu yang merupakan replika UMNO selain tindakan parti itu mengambil ahli Parlimen parti terbesar orang Melayu berkenaan dengan cara 'mencuri di siang hari'.
“Apa perasaan Pas jika parti Parti Amanah Negara (Amanah) juga diminta menyertai Muafakat Nasional dengan alasan yang sama demi perpaduan Melayu? Adakah Pas sanggup menerimanya?
“Pas wajar cuba memahami situasi dilalui oleh ahli-ahli UMNO bila mana wakil rakyat yang dipilih lompat ke Bersatu tanpa mengambil kira pandangan mereka,” katanya.
Menurutnya, Pas baru-baru ini meneruskan usaha untuk melumpuhkan UMNO dengan cadangan supaya Perikatan Nasional (PN) didaftarkan sebagai satu gabungan politik berdaftar dan menjurus ke arah menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) dengan menggunakan lambang baru.
Jelasnya, ia bermaksud PN akan menggantikan BN seterusnya parti komponen BN iaitu MCA dan MIC pasti akan meninggalkan parti gabungan berkenaan.
“Ini terbukti bila mana ketua- ketua parti dari Sabah yang dulunya komponen BN telah dijemput sekali dalam mesyuarat PN baru baru ini, begitu juga dgn MCA dan MIC.
“Kedudukan UMNO akan jadi sama tarafnya dengan parti lain walaupun hanya mempunyai ahli yang boleh dihitung dengan jari,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, UMNO dan Pas sepatutnya menguatkan MN dan menjadi blok terkuat dalam pembentukan kerajaan selepas PRU akan datang seperti mana dilakukan parti-parti politik di Sarawak.
Katanya, ahli politik Sarawak bertindak bijak dengan mewujudkan blok mereka sendiri demi perjuangan rakyat Sarawak.
“MN sewajarnya membuat tawaran supaya Bersatu kembali kepada UMNO malah tidak salah jika MN juga membuat tawaran sama pada Amanah untuk kembali kepada Pas. Situasi sebegini akan menunjukkan bahawa orang Melayu ingin benar-benar bersatu dan menjadi peneraju politik negara, tidaklah bersatu di luar tetapi berpecah di dalam.
“Mendaftarkan PN sama sahaja dengan memberi sijil kematian pada BN, juga melumpuhkan kekuatan UMNO. Akan tidak ada parti besar untuk orang Melayu, penguasaan orang Melayu dalam politik akan jadi lemah dan tidak akan ada lagi satu parti memiliki kerusi terbanyak dalam Parlimen,” katanya.
Jelasnya, kesannya nanti tidak akan ada kerajaan yang stabil selepas ini kerana mana-mana kerajaan akan tumbang bila mana ada parti yang keluar dari gabungan mengikut selera parti itu.
“Situasi kita hadapi hari ini akan kekal walaupun selepas PRU akan datang. Orang politik sibuk mengurus parti mereka untuk melompat, pemimpin parti pula sibuk berebut jawatan manakala rakyat tercengang, bingung hidup terus dalam kesempitan.
“Situasi bersatu di luar, berpecah di dalam ini tidak akan menguntungkan orang Melayu malah negara juga akan bermasalah kerana kerajaan yang akan wujud adalah kerajaan tidak stabil,” katanya.
Terdahulu beliau berkata, MN menjadi blok kuat dalam pembentukan kerajaan PN dan sokongan MN membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan.
Katanya, semua akur ‘kumpulan’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi pembelot kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi perancang utama untuk Muhyiddin mengemudi tampuk pemerintahan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!