Mampukah kehadiran Tun M membuahkan ‘golden goal’ untuk PH?
KUANTAN - Politik ‘golden goal’ bakal menjadi kekuatan PH di saat akhir tempoh berkempen yang membawa turun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mampu memberi signal positif kepada minda pengundi di PRK Cameron Highlands.
Kehadiran Tun Mahathir itu diyakini mampu memikat perhatian rakyat khususnya pengundi yang ternanti-nantikan sesuatu yang istimewa daripada pemmpin itu, sekurang-kurangnya berupaya mengurangkan keluh resah rakyat tempatan yang terbelenggu pelbagai isu seterusnya membuahkan keyakinan kepada mereka untuk memilih yang terbaik untuk diterjemahkan ke dalam kertas undi.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, Mohd Rozaimy Ridzuan berkata, politik ‘golden goal’ dengan membawa Tun Mahathir turun padang pastinya memberi kelebihan kepada PH di saat rakyat Cameron Highlands dahagakan penyelesaian terhadap isu berbangkit.
“PH juga mengambil kesempatan apabila mereka cuba memainkan isu-isu yang membelenggu penduduk Cameron Highlands. Masalah Tanah Adat Orang Asli dan Tanah TOL (lesen menduduki sementara) untuk pertanian yang perlu diselesaikan segera.
“Sudah pasti pengundi-pengundi Cameron Highlands meletakkan harapan yang besar kepada PH kerana mereka mahukan pembangunan daripada kerajaan pusat.
“Tetapi, harus diingat, isu-isu yang membabitkan soal tanah tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri (yang ditadbir oleh kerajaan BN) dan kerajaan negeri boleh menimbangkan apa yang patut untuk memberikan kemudahan, rezeki dan ekonomi kepada masyarakat tempatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mohd Rozaimy berkata, BN juga memberi saingan yang sengit kepada kerajaan dengan menampilkan seorang calon berketurunan Orang Asli dari suku Semai bagi meraih sokongan undi terutama sekali daripada komuniti Orang Asli.
Menurutnya, dengan semangat kental calon BN, Ramli Mohd Nor sedang mencipta sejarah sebagai Ahli Parlimen dari masyarakat Orang Asli yang pertama dan juga menjadi lambang kebanggaan masyarakat Orang Asli dan penduduk Cameron Highlands.
“Namun, ia tidak semudah yang disangkakan kerana M Manogaran (calon PH) telah tiga kali bertanding merebut kerusi tersebut. Pastinya beliau akan berusaha sehabis mungkin apatah lagi dengan kelebihan bertanding di atas tiket kerajaan yang sedang memerintah.
“Tambahan pula, beza jurang kekalahan beliau pada PRU yang lalu tidaklah begitu besar,” katanya.
Sementara itu, pada perkembangan sama, Mohd Rozaimy turut meramalkan dua calon Bebas, Wong Seng Yee, 40 dan Sallehuddin Ab Talib, 61, yang bertanding PRK tersebut bakal kehilangan wang deposit.
“Sungguhpun begitu, apa yang pasti, kehadiran mereka dalam PRK Cameron Highlands ini setidak-tidaknya dapat membangkitkan pelbagai isu yang diwakili dan diperjuangkan mereka, seperti isu tanah perladangan dan kesesakan jalan raya, selain daripada mengurangkan undi majoriti parti politik yang bakal memenangi PRK kelak.
“Isu harga kelapa sawit dan getah boleh menjadi penimbang tara kepada kemenangan calon PRK Cameron Highlands kerana ia sumber rezeki penduduk Felda Koyan 1, 2 dan 3 dan Kuala Medang.
“Diharapkan seramai 32,008 pengundi Parlimen Cameron Highlands dapat membuat pilihan terbaik menjelang hari pengundian Sabtu ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!