6 didenda RM1200 ingkar notis MPK
KUANTAN - Enam individu didenda membabitkan RM1200 oleh Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini kerana tidak mematuhi notis kacau ganggu yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun turut diperintahkan menjalani hukuman penjara empat hari jika gagal membayar denda tersebut.
Majistret, Nor Izzati Zakaria menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM200 seorang selepas kesemua mereka yang didakwa secara berasingan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan pertuduhan kesemua mereka diberikan notis kacau ganggu kerana tidak menjaga kebersihan dan membiarkan punca pembiakan nyamuk aedes di premis masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Muhamad Haizad Zolpani di bawah Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan iaitu tidak mematuhi notis kacau ganggu yang telah dikeluarkan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!