Wacana: Peranan NGO dalam konteks Malaysia Baharu
SHAH ALAM - Kerajaan PH sentiasa memberi ruang kepada kumpulan NGO untuk turut serta dalam agenda membangunkan negara.
Malah menurut Naib Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli peranan NGO lebih diiktiraf pada zaman era Malaysia Baharu ini.
"Maka dalam konteks Malaysia Baharu kita berikan ruang yang lebih luas di atas prinsip kita percaya dan amalkan sikap keterbukaan.
Kita beri tumpuan kepada suara rakyat dan masyarakat, untuk memberi pandangan dan dalam membantu kerajaan dalam merangka dasar serta bangkitkan isu yang berakar umbi dalam masyarakat yang mungkin terlepas pandang oleh kerajaan.
Kerana bagi kami kerajaan baharu perlu ada keseimbangan di antara kumpulan NGO ini, iaitu keseimbangan di antara kumpulan NGO pendesak dan NGO penyokong.
Mungkin era ini saya fikir masyarakat kita lebih matang dalam melihat sesuatu isu dan ini terbukti menerusi pilihan mereka dalam memilih kerajaan yang mana saya kira ini merupakan satu perubahan besar.
Dan di era ini mana-mana NGO tidak ditekan untuk menjadi macai mana-mana kelompok, kerana selagi mana mereka berdaftar di bawah Akta Pertubuhan mereka ini ada hak dalam konteks undang-undang, jadi mereka bebas tanpa tertakluk di bawah mana-mana telunjuk.
Maka saya percaya bahawa NGO ini masih relevan kerana negara kita masih membangun dan kita punyai kerajaan yang baharu tujuh bulan.
Maka kumpulan seperti ini yang menjadi kumpulan pendesak mampu memberi tambah baik dan sekaligus dapat bekerjasama dengan kerajaan baharu untuk kita mereformasikan semula dasar-dasar dan program-program yang akhirnya kita dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Tetapi dalam konteks ketika ini saya fikir NGO itu perlu lebih bersikap dinamik, tidak rigid, dan tidak statik hanya sebagai kumpulan pendesak ataupun kumpulan penyokong semata-mata tetapi sebagai NGO yang melihat situasi semasa negara.
Sebagai contoh negara dalam kegawatan ekonomi rakyat sedang susah makanya ada peranan yang dimainkan NGO, misalnya dalam bidang ekonomi; peruncitan dalam membantu keadaan semasa negara.
Jadi kerajaan mengalu-alukan peranan yang dimainkan mereka, NGO ini perlu bebas dan tidak di bawah telunjuk sesiapa tetapi mereka punya sifat yang mampu suarakan isu-isu semasa
"Kerajaan perlukan peranan ini maka peranan mereka ini bukan sebagai pendesak sahaja tetapi sebagai rakan kerajasama untuk menyelesaikan masalah," katanya dalam Wacana Sinar Harian Kali Ke-87 yang berjudul Peranan NGO dalam konteks Malaysia Baharu.
INFO MENARIK
Sebanyak 67,355 NGO yang telah berdaftar dengan Akta Pertubuhan 1966 di negara kita.
NGO disifatkan sebagai pihak ketiga dalam membantu membangunkan negara.
Fungsi sebenar NGO adalah sebagai mengerakkan masyarakat ke arah yang lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!