Pukul ibu tidak dapat motosikal baharu
KANGAR - Seorang lelaki sanggup bertindak kejam memukul ibu kandungnya di kediaman mereka di Jalan Kaki Bukit, dekat sini Sabtu lepas selepas permintaan membeli motosikal baharu tidak dipenuhi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek berusia 28 tahun dipercayai mengamuk dengan memukul dan menampar ibunya beberapa kali serta mengheretnya ke ruang tamu hingga mencederakan mangsa di bahagian muka dan badan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, suspek yang tidak bekerja turut mengugut ibunya.
"Susulan itu, mangsa yang berusia 56 tahun dan bekerja sebagai pereka bentuk dalaman membuat laporan keesokan harinya kerana trauma dan takut dengan suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek meminta wang daripada ibunya untuk membeli motosikal baharu namun menuduh mangsa berbohong apabila dimaklumkan tidak memiliki wang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil laporan awal perubatan menunjukkan mangsa tidak mengalami kecederaan serius tetapi masih trauma dengan tindakan anak lelakinya itu.
"Susulan itu, suspek ditahan di rumahnya petang semalam sebelum direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana memukul, menumbuk dan mengugut mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!