KASA akan sediakan pelan manfaatkan air

Tuan Ibrahim (kanan) dan Sulaiman (kiri) pada sidang media di Seri Negeri hari ini.
Tuan Ibrahim (kanan) dan Sulaiman (kiri) pada sidang media di Seri Negeri hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Alam Sekitar Air (KASA) sedang merancang melaksanakan pelan perkongsian air berskala besar di antara negeri.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kaedah itu dijangka mampu memanfaatkan air dari negeri yang memiliki lebihan bekalan bagi menangani krisis air di negeri yang bermasalah.

Menurutnya, antara contoh negeri yang mempunyai lebihan air termasuk Terengganu melalui Empangan Kenyir, Pahang, Perak dan Kedah.

"Kita meneliti beberapa perkara membabitkan negeri yang mempunyai lebihan air dan dilepaskan ke laut.

"Kita akan bincang kaedah mewujudkan perkongsian dan memanfaatkan situasi itu," katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja di Seri Negeri dan Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hassan.

Beliau mengulas kenyataan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia yang menjangkakan negara mengalami masalah air kritikal dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang sekiranya tiada langkah lebih agresif diambil kerajaan serta semua pihak terlibat.

Sebelum ini, Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, isu alam sekitar seperti penebangan balak dan pembukaan hutan sekiranya tidak ditangani dengan baik juga menyebabkan kemusnahan serta pencemaran sungai yang memberi impak besar kepada sumber air.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan, projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih di Lubok China bernilai RM200 juta antara usaha menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.

Menurutnya, projek itu mampu menampung keperluan penggunaan bekalan air di negeri ini sehingga tahun 2052 dengan kapasiti takungan sebanyak 13,000 juta liter selain dapat membekalkan air sebanyak 95 juta liter sehari (JLH) kepada loji rawatan air Jernih.

"Projek TAPS Melaka dengan anggaran kos RM350 juta pula mampu menampung keperluan penggunaan air di daerah Alor Gajah dan kawasan tambak laut Melaka sebanyak 280 JLH sehingga tahun 2040.

"Projek ini sedang dalam peringkat akhir penyediaan reka bentuk dan dijangka akan dimulakan pada tahun 2021 dan siap pada tahun 2024," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!