Orang asli maut dipercayai jatuh pokok petai
IPOH - Seorang lelaki orang asli yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari petai sejak semalam ditemukan maut di Kampung Kuala Temin, Hulu Kinta di sini hari ini.
Mangsa, Jawahir Pandak, 45, yang berasal dari Kampung Sri Makmur di sini ditemukan penduduk dalam keadaan tertiarap di pangkal pokok petai sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II Mahir Saat berkata, pihaknya menerima laporan bagi membantu polis mengangkat mayat mangsa pada jam 11.26 pagi.
“Sepasukan 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendaki selama sejam bagi mendapatkan mangsa.
“Setibanya di tempat kejadian, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan pada muka dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh dari pokok petai setinggi 15 meter.
“Mangsa dibawa turun dengan menggunakan skop strecher dengan melalui kawasan licin dan curam selama sejam.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi tamat pada jam 3.15 petang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!