Balu pekerja kilang maut langgar babi terima faedah Perkeso

Ismail (dua kanan) menyampaikan pembayaran FOT PERKESO kepada Nurulasyikin di Taman Wira Indah, Lubok China, hari ini.
Ismail (dua kanan) menyampaikan pembayaran FOT PERKESO kepada Nurulasyikin di Taman Wira Indah, Lubok China, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Balu kepada seorang mangsa yang meninggal dunia selepas terlibat kemalangan jalan raya akibat melanggar babi pada Jun lalu, menerima pembayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nurulasyikin Mohd Ali, 32, yang sedang hamil tujuh bulan menerima pembayaran berjumlah RM1,179 setiap bulan sepanjang hayat selain tambahan RM500 sebagai bayaran pencen bulanan kepada bayi yang bakal dilahirkannya pada September depan selama tempoh 21 tahun.

Ia disampaikan oleh Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Othman, di rumah wanita berkenaan di Taman Wira Indah, Lubok China, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Honda Malaysia (KPPHM), Ahmad Nurshirwan Abdul Hamid.

Nurulasyikin berkata, Perkeso menerusi Skuad Prihatin mengambil berat terhadap dirinya selepas kematian suaminya, Zulkarnain Mokhtar, 32, yang maut selepas motosikal ditunggang Allahyarham merempuh sekumpulan babi hutan ketika dalam perjalanan untuk ke tempat kerja pada 12 Jun lalu.

Menurutnya, pihak Perkeso sentiasa menghubunginya untuk bertanya khabar selain mengusahakan pembayaran faedah hasil caruman majikan suaminya sepanjang 12 tahun bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta import di Pegoh.

"Saya hanya bekerja sebagai guru sambilan di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kuala Sungai Baru dengan gaji harian sebanyak RM35 dan sudah pasti tidak mampu untuk menampung perbelanjaan, lebih-lebih lagi saya bakal menyambut kelahiran bayi pertama dijangka September depan.

"Alhamdulillah, dengan bayaran faedah Perkeso ini, akan meringankan sedikit beban kewangan saya memandangkan dalam tempoh cuti berpantang nanti saya tidak memperoleh gaji," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suaminya meninggal dunia selepas koma selama empat hari akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu, Abd Razak berkata, keprihatinan majikan Allahyarham Zulkarnain yang membuat caruman setiap bulan seharusnya dipuji.

"Majikannya sangat prihatin dan mengambil berat mengenai perkara ini (caruman). Sehubungan itu, saya berharap semua majikan berbuat demikian dan sekiranya ingkar, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka mengikut akta sedia ada," katanya.

KPPHM juga menyampaikan sumbangan berjumlah RM700 kepada Nurulasyikin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!