70 peratus loji rawatan bermasalah
PASIR GUDANG - Penyerahan 206 loji rawatan air sisa di Johor Bahru dan Pasir Gudang dari kerajaan Johor kepada Indah Water Konsortium Sdn Bdh (IWK) perlu segera dilakukan kerana 70 peratus daripadanya tidak berfungsi dengan baik.
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon berkata, langkah itu perlu kerana masalah loji rawatan berkenaan sudah berlarutan sekian lama dan penduduk di kawasan terbabit terpaksa menanggung kesannya.
Menurutnya, menerusi perjanjian yang dibuat penyerahan perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula 1 Januari lalu dan berakhir 30 Jun lalu namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan.
"Saya tidak tahu apa sebenarnya masalah mereka. Loji rawatan sisa air di Johor Bahru dan Pasir Gudang di bawah selenggaraan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).
"Jika mereka tidak mampu atau tidak mempunyai kepakaran dalam perkhidmatan pembetungan awam perlu diserahkan segera kepada pihak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Kota Masai di sini semalam.
Beliau sebelum itu meninjau masalah pencemaran bau di loji rawatan air sisa taman tersebut yang dibangkitkan penduduk setempat berikutan sudah tidak tahan lagi setelah tiada usaha dilakukan untuk menangani masalah itu sejak 10 tahun lalu.
Semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah Johor, persetujuan dibuat pada 18 November lalu antara kerajaan negeri dengan IWK untuk menyerahkan semua loji berkenaan bagi memastikan perkhidmatan pembetungan yang baik dan lebih cekap diberikan di kedua-dua kawasan itu.
IWK memerlukan tempoh sekitar 24 bulan untuk membaiki dan menaik taraf sebahagian daripada loji itu bagi mencapai tahap operasi yang sepatutnya serta memenuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Steven berkata, jika persetujuan itu tidak mahu diteruskan, kerajaan baharu pimpinan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini wajar melakukan sesuatu kerana dalam negara ini hanya loji rawatan di Johor Bahru dan Pasir Gudang diselenggara pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, jika tidak mahu diserahkan kepada IWK, pihak MBJB atau MPPG perlu merangka satu pelan perancangan jangka panjang untuk penyelesaian kerana masalah sedia ada tidak harus dibiarkan begitu sahaja.
Katanya, adalah wajar jika mereka mengikut perjanjian penyerahan loji rawatan itu yang ditandatangani bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dengan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar pada Oktober tahun lalu.
"Jadi apa masalahnya di sini? Jika masalah ini masih berterusan saya akan bertemu dengan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!