Ringgit meningkat berbanding Dolar AS ketika ditutup
RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut, sejajar dengan mata wang serantau.
Seorang penganalisis berkata, pasaran kewangan masih lagi bimbang dengan penularan koronavirus (Covid-19) yang boleh mempengaruhi pertumbuhan di Amerika Syarikat.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2600/2650 berbanding dolar AS iaitu 4.2720/2770 ketika ditutup pada hari sebelumnya
Penganalisis pasaran kanan OANDA untuk Asia Pacific Jeffrey Halley berkata, ringgit seharusnya mampu terus mengaut keuntungan dalam tempoh terdekat terutama dengan meningkatnya minat pelabur mengambil risiko memandangkan perolehan bon terus jatuh.
“Dolar AS/ringgit boleh merosot sehingga 4.2400 pada awal minggu depan sekiranya situasi sebegini berterusan,” kata beliau kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0595/0642 daripada 3.0600/0642 pada Rabu dan tinggi sedikit berbanding yen pada 3.9702/9752 daripada 3.9703/9768 semalam.
Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.8262/8335 daripada 4.8167/8236 dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3906/3982 daripada 5.3503/3587. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!