Dua beradik melecur dalam kebakaran
NIBONG TEBAL - Dua beradik melecur di beberapa bahagian badan apabila rumah mereka diami di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini terbakar petang tadi.
Jurucakap bomba Balai Bomba Sungai Bakap berkata, mangsa G Mala, 33, melecur 50 peratus dan kakaknya, G Nirmala, 39, pula melecur 45 peratus di bahagian kaki dan tangan.
Selain dua beradik itu, katanya, tiga lagi mangsa dipercayai ahli keluarga mangsa berusia 50, 12 dan dua tahun turut melecur dan masih dalam pemeriksaan.
Menurutnya, kesemua mangsa dirawat di Hospital Sungai Bakap di sini dan kini masih dalam pemantauan doktor.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 petang dan terus bergegas ke lokasi. Kebakaran melibatkan bilik utama di sebuah rumah teres satu tingkat kelas A. Bilik yang terbakar mempunyai anggaran keluasan 20x20 kaki persegi.
"Peratusan kebakaran dianggarkan 15 peratus. Dua mangsa yang serius dan tiga lagi yang turut melecur berjaya diselamatkan. Bagaimanapun, tiga mangsa yang tidak serius telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum kita tiba," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa itu dikatakan sedang berehat.
"Mereka cedera ketika cuba menyelamatkan diri dari kebakaran tersebut," katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman api dihentikan pada jam 6.55 petang tadi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!