Keputusan kes pembunuhan Kevin Morais diketahui hari ini

Mayat Morais dijumpai di dalam tong dram yang diisi konkrit di Taman Subang Mewah, USJ 1.
Mayat Morais dijumpai di dalam tong dram yang diisi konkrit di Taman Subang Mewah, USJ 1.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas lima tahun kejadian pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais berlaku, Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan berhubung kes berkenaan hari ini.

Hakim Datuk Azman Abdullah akan memutuskan sama ada enam lelaki yang dituduh membunuh mendiang berdepan hukuman gantung sampai mati atau dibebaskan.

Mereka ialah pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 57; pemberi pinjaman wang, S Ravichandran, 49, serta empat penganggur iaitu R Dinishwaran, 28, A K Thinesh Kumar, 27, M Vishwanath, 30, dan S Nimalan, 27. Pada 20 November 2018, mahkamah memerintahkan enam lelaki itu membela diri terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais.

Kesemua dituduh membunuh Kevin Morais ketika perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

INFO:

Nama: Datuk Kevin Anthony Morais

Tarikh Lahir: 22 Mac 1960

Dilaporkan meninggal dunia: 16 September 2015

Jawatan: Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Dilaporkan hilang: 4 September 2015 (dipercayai diculik sebelum dibunuh)

Kronologi kejadian:

4 September 2015

9 pagi - Morais dilaporkan keluar dari rumahnya di Kondominium Menara Duta (1), Jalan Dutamas untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Artikel Berkaitan:


10.30 pagi hingga 3 petang - Rakan serumah Morais dikenali sebagai Davveen cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal. Davveen menghubungi setiausaha Morais dan dimaklumkan Morais tidak hadir ke pejabat.

5 September 2015

Petugas Balai Polis Hutan Melintang terima laporan bahawa orang awam menjumpai sebuah kereta hangus di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.

Nombor enjin dan casis kenderaan dipercayai jenis Proton Perdana versi Honda Accord itu didapati dirosakkan.

Kenderaan itu sama jenis dengan kenderaan yang dipandu Morais pada hari dia dilaporkan hilang.

Davveen memaklumkan pada abang Morais, Datuk Richard Dilaan Morais berhubung kehilangannya.

5.04 petang - Laporan polis dibuat berhubung perkara itu di Balai Polis Jinjang.

6 September 2015

Polis minta bantuan Jabatan Kimia, Proton dan Spanco Sdn Bhd untuk mengenal pasti kenderaan yang ditemui terbakar untuk memastikan ia adalah milik Morais atau sebaliknya.

Polis mengklasifikasikan kes kehilangan Morais sebagai orang hilang (OH).

Polis menubuhkan satu pasukan khas siasatan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad.

14 September 2015

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Morais dilarikan lima lelaki di Jalan Telawi, Bangsar berdasarkan rakaman CCTV diperoleh polis.

Visual menunjukkan kenderaan Morais dihalang sebuah kenderaan lain sebelum mereka berhenti di tepi jalan.

Morais ditarik masuk ke kereta suspek dan keretanya turut dilarikan suspek.

16 September 2015

6 pagi - Sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Tugas Khas Melawan Jenayah Terancang (STAFOC) memeriksa satu lokasi di Taman Subang Mewah, USJ 1 dan menemui satu tong yang disorok di kawasan semak berjaya dikeluarkan kira-kira jam 8 pagi.

8.45 pagi - Sepasukan anggota bomba dengan satu jenteranya tiba di lokasi kejadian.

10 pagi - Polis sahkan mayat Morais ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit.

17 September 2015

Seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga doktor perubatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan untuk membantu siasatan.

20 September 2015

Polis mencari dua lagi individu untuk bantu siasatan pembunuhan Kevin.

Polis menahan seorang lelaki warga India di Tanjung Malim, Perak bagi bantu siasatan.

21 September 2015

Seorang daripada dua individu yang dicari, ditangkap di Padang Serai, Kedah.

22 September 2015

Seorang lagi individu yang dicari menyerah dirt di IPD Sentul.

Polis mengesahkan sudah menahan 11 orang bagi membantu siasatan kes itu.

23 September 2015

Mayat Kevin sepatutnya dituntut keluarga untuk pengebumian, namun keluarga menolak kerana mahu menunggu laporan penuh bedah siasat.

6 April 2016

Perbicaraan di mahkamah Kuala Lumpur bermula.

70 saksi pendakwaan dan 14 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Enam individu ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!