Nasi bujang RM2 kenangan mengusik jiwa
SEMALAM selepas pulang dari kerja lewat malam, Merak Jalanan bergegas ke kedai mamak berhampiran pejabat di Shah Alam, Selangor untuk makan.
Dalam pada memikirkan hendak makan apa, Merak Jalan sempat memeriksa dompet untuk melihat wang. Nasib tidak baik, duit dalam dompet hanya ada RM5.
“Nak makan apa RM5?”
Tiba-tiba Merak Jalanan teringat nasi bujang. Maka segeralah Merak Jalanan memesannya.
Sedang enak menikmati nasi bujang itu, tiba-tiba kenangan lalu menerpa di minda. Merak Jalanan seolah-olah ditarik balik ke era 20 tahun keterbelakang ketika Merak Jalanan sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Shah Alam.
Pada ketika itu juga, nasi bujang adalah makanan harian Merak Jalanan siang dan malam. Maklum sajalah, tengah menuntut duit tak berapa nak ada dalam tangan.
Kalau dibentangkan perbelanjaannya, maka lebihan pinjaman untuk menanggung makan Merak Jalanan sepanjang belajar hanya RM6 sehari.
Dengan jumlah itu, Merak Jalanan hanya mampu makan nasi bujang berlaukkan telur dadar, sup kosong dan sambal belacan sebagai perasa berserta air sirap.
Harganya cukup-cukup RM3 iaitu nasib bujang RM2 dan air sirap RM1. Itulah makanan rutin harian kami sepanjang bergelar penuntut di universiti dahulu.
Mengenang balik kenangan tersebut, mengalir air mata Merak Jalanan semasa sedang menikmati nasi bujang versi moden di kedai mamak.
Walaupun sama intipatinya tapi harganya telah berubah. Naik RM2 berbanding 20 tahun yang lalu.
Waktu sama juga terngiang-ngiang lagu Kenangan Mengusik Jiwa nyanyian legenda pop yeh yeh Singapura, A Ramlie.
Tapi Merak Jalanan bersyukur, zaman nasi bujang itu hanya berlaku masa era pengajian di universiti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!