Beri perhatian kepada keusahawanan sosial

Kewujudannya keusahawanan sosial dilihat lebih tertumpu membantu berbanding mengaut keuntungan semata-mata. - Foto 123RF
Kewujudannya keusahawanan sosial dilihat lebih tertumpu membantu berbanding mengaut keuntungan semata-mata. - Foto 123RF
A
A
A

SUDAH sampai masanya kerajaan dan agensi penyedia dana berkaitan memberi tumpuan lebih kepada keusahawanan sosial (social enterprise) di Malaysia terutama yang berskala kecil kerana perniagaan jenis itu turut menyumbang kepada ekonomi selain giat membangunkan dan memperkasa golongan memerlukan yang tercicir dalam aktiviti ekonomi.

Keusahawanan sosial pada asasnya adalah sebuah perniagaan yang diwujudkan dengan matlamat membantu golongan memerlukan tanpa mengetepikan soal keuntungan.

Bagaimanapun, kewujudannya dilihat lebih tertumpu membantu berbanding mengaut keuntungan semata-mata.

Sebagai contoh, keusahawanan sosial The Asli Co. yang memasarkan produk orang asli membantu golongan ibu menjana pendapatan untuk menyokong perbelanjaan persekolahan anak-anak agar tidak tercicir dalam pendidikan.

Secara amnya, tanggungjawab keusahawanan sosial lebih berat berbanding perniagaan lain kerana mereka bukan sahaja perlu mengoptimumkan keuntungan, pada masa sama entiti perniagaan berkenaan juga perlu meneruskan matlamat penubuhannya untuk membantu golongan memerlukan.

Tidak dinafikan kerajaan termasuk agensi tertentu seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) banyak membantu memperkasakan keusahawanan sosial di Malaysia.

Bagaimanapun, ia masih belum mencukupi kerana perniagaan jenis itu memerlukan perhatian lebih untuk meneruskan kelangsungan operasinya.

Selain bantuan dana berterusan, kerajaan mungkin boleh menyokong perniagaan berkenaan dengan menggalakkan agensi atau jabatan di bawahnya mendapatkan produk keluaran keusahawanan sosial sebagai cenderahati untuk program dianjurkan.

Artikel Berkaitan:

Dengan cara itu, kerajaan secara tidak langsung dapat membantu meneruskan operasi keusahawanan sosial yang ada di Malaysia, sekali gus menggalakkan lebih ramai individu tampil mengusahakan jenis perniagaan berkenaan.

Tambahan pula, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan ramai yang kehilangan serta sukar mendapat pekerjaan akibat persaingan dan sebagainya, keusahawanan sosial dilihat mampu memainkan peranan mengaktifkan ekonomi golongan yang terjejas itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!