Tiga maut, dua parah kereta bertembung treler

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan Toyota Vios. - Foto Ihsan IPD Hulu Terengganu
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan Toyota Vios. - Foto Ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU- Tiga maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris - Sungai Gawi (Aring) Kuala Berang, di sini semalam.

Kemalangan pada jam 7.30 petang itu membabitkan sebuah lori treler membawa muatan bijih besi amang dan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki lima lelaki.

Mereka yang maut adalah pemandu Toyota Vios, Noriskandar Muzafar, 33; penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18.

Dua lagi penumpang kereta, Afif Safwan Mohd Zuki, 21 dan Mohamad Rusydi Md Said, 26, cedera parah manakala pemandu treler berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati Toyota Vios dinaiki lima lelaki itu dalam perjalanan dari arah Bera, Pahang menghala ke Perak.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta terbabit dikatakan melanggar lopak air lalu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan lori treler yang dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menghala ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

"Kereta terbabit merempuh bahagian hadapan lori treler dan menyebabkan tiga mangsa termasuk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa yang cedera parah dibawa Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Zumizan Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.59 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan bahagian penumpang hadapan kereta Toyota Vios.

"Kami mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang maut itu.

"Empat termasuk seorang lagi yang meninggal dunia dikeluarkan orang awam sebelum mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.

"Mayat tiga mangsa pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!