Agen nafi perpindahan Bruyne
AGEN pemain Belgium Kevin De Bruyne, Patrick De Koster menafikan khabar angin yang mengatakan bintang Manchester City itu akan meninggalkan kelab berkenaan sekiranya masih berdepan hukuman penggantungan daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Koster berkata, pemain berusia 29 tahun itu masih memiliki kontrak dengan The Citizens itu sehingga musim 2023 kelak.
Justeru menurut Koster, kontrak itu mengesahkan bahawa Bruyne tidak akan ke mana-mana dan akan terus beraksi di Etihad.
“Buat ketika ini, Bruyne masih ada kontrak tiga tahun dengan City. Lagi pun, difahamkan dia senang dan merasakan dihargai berada di sini (Etihad).
“Mungkin ramai melihat perkara (perpindahan), tetapi sebenarnya dia (Bruyne) langsung tidak memikirkan mengenainya,” katanya.
Koster berkata demikian bagi mengulas mengenai pendapat peminat City yang meramalkan ramai pemain kelab berkenaan bakal meninggalkan Etihad sekiranya tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara berikutan hukuman penggantungan dua tahun yang dikenakan UEFA kepada kelab berkenaan kerana telah melanggar syarat Financial Fair Play (FFP).
Untuk rekod, City akan mengetahui mengenai rayuan yang telah dikemukakan kepada UEFA sebelum ini menerusi pengumuman keputusan daripada pihak Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dijangka diumumkan Isnin ini.
Sementara itu Koster meramalkan jika City mampu menjulang Piala FA Inggeris dan seterusnya Liga Juara-Juara musim ini, sudah pasti tidak lagi kendengaran rungutan daripada pelbagai pihak setelah pasukan berkenaan gagal menyaingi Liverpool untuk trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/2020.
Malah katanya, kejayaan dalam kedua-dua saingan merebut trofi Piala FA Inggeris dan Liga Juara-Juara itu sekali gus akan menambah koleksi trofi City yang muncul juara Piala Liga di awal musim lalu.
“Jika City memenangi kesemua piala ini, saya rasa tiada pihak yang akan mempertikaikan mengenai penggantungan oleh UEFA itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!