Nelayan 'muda' dari Vietnam belajar menangkap ikan

Asmawie (kanan) bertanyakan sesuatu kepada awak-awak yang ditahan di jeti APMM disini.
Asmawie (kanan) bertanyakan sesuatu kepada awak-awak yang ditahan di jeti APMM disini.
A
A
A

PASIR PUTEH - Dua remaja yang juga adik- beradik berusia 15 dan 14 tahun antara 12 nelayan Vietnam yang ditahan ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) negeri Kelantan dalam Op Iman di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kesemua nelayan itu ditahan pada jarak kira-kira 79.7 batu nautika dari Muara Tok Bali kira-kira jam 11 pagi dan pemeriksaan mendapati terdapat tangkapan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Katanya, mereka cuba melarikan diri tetapi selepas hampir 40 minit mengejar bot tersebut, anggota APMM berjaya menahan bot berkenaan pada jarak empat batu nautika dari lokasi asal mereka dikesan.

"Pemeriksaan ke atas mereka difahamkan dua remaja terbabit dikatakan anak yatim dan dibawa dari Vietnam untuk diberi pendedahan sebagai seorang nelayan.," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menghadapi cabaran dalam proses membawa pulang bot berkenaan dan mengambil masa 18 jam dengan kelajuan maksimum 5 knot sahaja.

Asmawie juga memberitahu, hasil siasatan pihaknya, bot yang dinaiki 11 awak-awak dan seorang tekong itu tidak mempunyai permit menangkap ikan yang sah.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 kepada awak-awak terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!