Apa beza 'tidak laku' dan bubar?
KUALA TERENGGANU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris membidas sikap sesetengah pemimpin UMNO yang berterusan menyerang parti itu sehingga ada cadangan membubarkan parti itu.
Menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan, beliau berkata, isu melibatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Latiff Ahmad sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah.
"Apa bezanya 'bubar' dengan tidak laku? Ramai juga pimpinan UMNO yang mendesak Bersatu untuk bubar. Apa maksudnya?
"Dr Latiff sudah pun memohon maaf. Saya fikir, isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana Dr Latiff bukan pimpinan tertinggi Bersatu, sekadar ahli biasa sahaja.
"Kalau nak dikira, ramai lagi orang UMNO yang membuat kenyataan provokasi hingga mengakibatkan kekalutan dalam Perikatan Nasional (PN) tapi kita buat diam sahaja kerana mereka semua sudah hampir 'luput tarikh'," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan balas beberapa pemimpin UMNO setelah Dr Latiff mengeluarkan kenyataan mengatakan UMNO sebagai parti yang tidak laku di Sabah.
Jelas Razali, sepatutnya pemimpin PN bersepakat dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku sehingga negara 'hampir lumpuh' dalam semua segi akibat wabak koronavirus (Covid-19).
Pada masa ini katanya, semua kepimpinan perlu merapatkan saf PN dalam mengharungi suasana norma baharu politik ke depan.
"Sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperlekeh komponen parti dan ahli. Sepatutnya kita berpakat membina negara kembali dengan memperkuatkan ekonomi, kesihatan dan segalanya.
"Buktikan kepada rakyat Malaysia yang kita mampu memerintah dengan tiada sesiapapun yang terpinggir. Saya yakin pimpinan atasan bersepakat agar tiada pertembungan sesama sendiri berlaku dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!