Kes Covid-19 melonjak, Hong Kong tutup semula sekolah
MOSCOW - Semua sekolah di Hong Kong ditutup semula selepas berlaku lonjakan kes baharu koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Sputnik memetik akhbar South China Morning Post pada Jumaat.
Menurut sumber perubatan, hampir 30 orang disahkan dijangkiti virus itu, 11 daripadanya penduduk yang tinggal berdekatan kawasan penempatan Shui Chuen O Estate di bandar Sha Tin. Tarikh penangguhan sekolah dijangka diumum pada Jumaat.
Lonjakan kes berlaku menjelang Pesta Buku Hong Kong, yang dijadual minggu depan.
Sebelum ini, dilaporkan beberapa pegawai di bandar raya itu meminta acara berkenaan dibatalkan, bagaimanapun, Menteri Kesihatan tetap untuk menganjurkannya dengan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk penjarakan sosial.
"Keputusan yang sepatutnya, saya percaya adalah membatalkan pameran itu," kata David Hui Shu-cheong dari Universiti China.
"Andai ada orang di pameran itu (termasuk pengunjung atau penjual buku) dijangkiti, banyak kontak perlu dikesan ia merupakan masalah besar," katanya.
Hong Kong setakat ini mengesahkan 1,366 kes Covid-19, tujuh kematian dan 1,176 pesakit sembuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!