Pusat hiburan keluarga dibenar operasi mulai 15 Julai
PUTRAJAYA - Pusat hiburan keluarga termasuk arked permainan dan pusat karaoke dibenarkan beroperasi kembali bermula 15 Julai ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan 3,000 tenaga kerja terlibat dan sumbangan RM500 juta kepada pendapatan negara.
"Kelulusan ini melibatkan arked permainan, taman funfair indoor, hiburan pendidikan, gym permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.
Kerajaan turut membenarkan aktiviti berkaraoke di majlis perkahwinan, namun operasi pub dan disko masih tidak dibenarkan, katanya.
Memperincikan kelonggaran baharu itu, Ismail Sabri berkata, pengoperasian adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, antaranya pengguna perlu memuat turun aplikasi MySejahtera.
Bagi operator pula, mereka dikehendaki mengehadkan jumlah pengunjung berdasarkan saiz premis dan memastikan ada jarakan sosial selain mengambil suhu badan.
“Penjualan tiket dalam talian adalah digalakkan dan operator juga perlu melakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala,” katanya.
Menyentuh mengenai kebenaran rakyat negara ini menjalani latihan syarikat di luar negara, beliau berkata, perkara itu dibolehkan tertakluk kebenaran Jabatan Imigresen.
Mengenai pematuhan PKPP pada hari ke-29 pelaksanaan semalam, Ismail Sabri berkata, 76 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar PKPP dan 10 warga asing ditahan menerusi sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!