Pilihan raya Singapura: Pengundi terpaksa beratur panjang
SINGAPURA - Pengundi terpaksa beratur dalam barisan yang lebih panjang berbanding sebelum ini di beberapa pusat pengundian di Singapura pagi tadi.
Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) memaklumkan perkara itu disebabkan oleh langkah keselamatan tambahan yang dilaksanakan untuk memastikan keselamatan proses pengundian.
"Waktu mengundi antara jam 8 pagi dan 12 tengah hari dikhaskan untuk warga emas berusia 65 tahun ke atas bertujuan untuk meminimumkan interaksi dengan pengundi muda.
"Kami menggesa pengundi muda yang tidak menemani mana-mana pengundi warga emas supaya mematuhi waktu pengundian yang ditetapkan," jelas ELD.
Difahamkan, pengundi warga emas turut diberikan kerusi sementara menunggu giliran mereka.
"Sebelum ini, kami tidak perlu beratur panjang. Kali ini, kami terpaksa menunggu lama," kata pengundi yang hanya dikenali sebagai Tan, 74.
Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 840,000 atau kira-kira 31 peratus daripada 2.65 juta pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Bagi meredakan isu beratur panjang itu, ELD mengumumkan ia tidak lagi mewajibkan pengundi untuk memakai sarung tangan sekali guna seperti ditetapkan sebelum ini.
"Kami mendapati langkah itu telah menyebabkan masalah tersebut. Sarung tangan masih lagi ada untuk pengundi yang mahu menggunakannya.
"Kami mohon maaf kepada pengundi dan meminta mereka terus mematuhi waktu mengundi yang diberikan bagi mengelakkan kesesakan.
"Mereka juga perlu terus mematuhi langkah penjarakkan sosial," ujarnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!