Pertubuhan Islam AS bela hak banduan Yahudi untuk hidangan kosher
LANSING - Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) cawangan Michigan di Amerika Syarikat (AS) mendakwa pihak berkuasa penjara di negeri itu melakukan pelanggaran Perlembagaan Negeri dan Persekutuan apabila menafikan hak tahanan Yahudi untuk hidangan kosher.
Malah, organisasi itu bersedia menjadi pasukan pembelaan bagi kes Brandon Resch yang dinafikan makanan ‘halal’ mengikut agama Yahudi itu di Penjara Macomb County pada 2017.
“Dalam apa juga keadaan, tunaikanlah hak beragama seseorang tanpa mengira dia anggota rasmi sesebuah pertubuhan agama atau sebaliknya.
“Tindakan pihak penjara bertentangan dengan Akta Penggunaan Agama dan Individu Berinstitusi.
“Ia juga melanggar hak Pindaan Pertama dan 14 terhadap perlindungan sama rata dan bebas menganut agama,” kata jurucakap pasukan perundangan CAIR, Amy V Doukoure.
Tambah Doukoure, CAIR tampil membela Resch kerana bimbang perkara sama berlaku kepada tahanan beragama Islam.
“Jika Yahudi ada hidangan kosher, orang Islam pula ada makanan halal,” katanya.
Pada 2018, CAIR berjaya menyekat pengawal penjara di Alaska daripada menghidangkan daging babi kepada tahanan Islam ketika berbuka puasa selepas memfailkan tuntutan di mahkamah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!