Siapa yang bermuka dua?

A
A
A

HAKIKATNYA, perkara baik dan buruk adalah adunan yang melengkapi dalam perjalanan hidup kita. Pendek kata, adunan yang baik menjadi tunjang kekuatan, manakala adunan yang buruk menjadi teladan dan sempadan. Ia bermakna tiadanya sifat baik yang sempurna dan tiadanya sifat jahat yang mutlak bagi seseorang manusia.

Benarlah kata orang-orang tua dahulu, dalam 10 kebaikan yang ada pada seseorang, simpanlah satu keburukan supaya tidak kecewa nanti, manakala daripada 10 keburukan yang ada pada dirinya, simpanlah satu kebaikan supaya tidak tersalah hukum pula. Pun begitu, kita perlu kembangkan yang baik dan kuncupkan yang buruk.

Sebetulnya, sikap bermuka dua atau bermuka-muka adalah sikap buruk yang agak kronik. Tiada sedikit pun manfaat, malah meracuni diri dan memudaratkan orang lain. Tidak cukup dengan itu, akan terbelengu di dunia dan hampa di akhirat.

Daripada Abu Hurairah RA, baginda Rasulullah SAW bersabda: “Kalian mendapati bahawa orang yang paling buruk di antara manusia adalah orang yang bermuka dua, datang kepada satu golongan dengan satu muka dan pada golongan yang lain dengan muka yang lain (Hadis riwayat Ahmad).

Malah, orang yang bermuka-muka dianggap sebagai munafik selaras dengan firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu hendak menipu ALLAH dan ALLAH akan membalas tipuan mereka.” (Surah An-Nisa’, 4:142).

Menurut kamus psikologi, sikap bermuka-muka atau two-faced dikaitkan dengan individu yang mempunyai sikap luaran yang berbeza dengan apa yang ada dalam hati. Pendek kata, depan nampak baik, namun di belakang kita menonjolkan sikap kebencian dan sangat berpotensi untuk menikam dari belakang.

Sikap sebegini berada dalam kelompok yang sama dengan gejala hipokrit, tidak ikhlas dan jujur. Jika dibiarkan berpanjangan, seseorang itu akan dihinggapi penyakit psikologi yang dikenali sebagai kecelaruan identiti atau identity disorder.

Berkaitan dengan sikap hipokrit, kadangkala kita sendiri tidak sedar telah bersikap hipokrit. Sebagai contoh, kita pernah menegur seseorang supaya ‘jangan berbohong’ sedangkan kita sendiri pernah berbohong.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga menegur seseorang agar ‘jangan mudah menghukum’ sedangkan pada masa yang sama kita juga telah ‘menghukum’ mereka. Ia bermakna, sikap jujur kepada diri sendiri amat penting dan seeloknya berkata: “Marilah kita bersama-sama menjauhi sikap berbohong kerana sikap tersebut ada pada setiap individu, termasuk saya.” Justeru, pernyataan tersebut dapat menghindarkan diri kita daripada bermuka dua.

Sejujurnya, telah banyak kajian dilakukan untuk mengetahui kenapa munculnya sikap bermuka dua. Jika dibuat rumusan, terdapat beberapa faktor yang mendorong sikap bermuka-muka.

Pertama, hadirnya pihak ketiga yang mula meretakkan hubungan dengan pihak yang pertama kerana timbulnya persaingan. Mereka saling tidak jujur antara satu sama lain bagi menegakkan agenda masing-masing.

Kedua, berlagak baik kerana masih belum mendapat kuasa. Apabila kuasa mula digenggam, bara api sanggup dipegang untuk melunaskan dendam.

Ketiga, menyembunyikan yang tersirat dengan menonjolkan yang tersurat. Bagi menjayakannya ‘lembut gigi daripada lidah’ dijadikan senjata untuk ‘makan tuan’.

Pada hemat saya, situasi itu tidak akan berlaku sekiranya kita membudayakan konsep ‘alhamdulillah’ dalam kehidupan. Sebetulnya konteks alhamdulillah cukup luas, namun memadailah kita memahami dua perkara penting sahaja iaitu bersyukur dengan segala kurniaan nikmat daripada ALLAH SWT dan memuji segala kelebihan yang ada pada orang lain.

Justeru, dengan membudayakan konsep alhamdulillah, kita akan menjadi lebih tenang kerana berasa cukup dengan apa yang kita terima dan tidak dilintaskan perasaan dengki dalam minda dan hati kita kepada orang lain. Semoga kita dijauhi daripada sikap bermuka dua dan menjauhi orang yang bermuka-muka.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!