Semenanjung Gaza terus dibedil Israel
GAZA - PALESTIN. Pesawat tentera rejim Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke utara Semenanjung Gaza dalam tindakan pencerobohan terbaharu di pesisir pantai Palestin yang terkepung.
"Serangan dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan ke atas pasukan kami," kata Tentera Udara Israel dalam satu kenyataan.
Kenyataan turut menyebut, pesawat tentera Israel membedil beberapa sasaran di sebuah kem latihan milik pejuang Hamas, namun tiada laporan kecederaan diterima.
Terdahulu, seorang warga Palestin dikenali sebagai Mohammed al-Nabaheen, 24, terbunuh sementara empat yang lain cedera apabila tentera rejim membedil Semenanjung Gaza susulan insiden seorang tenteranya ditembak di pagar sempadan.
Hamas kemudian mengesahkan al-Nabaheen sebagai anggota sayap tenteranya, Briged Ezzedine al-Qassam.
Sekurang-kurangnya 250 rakyat Palestin dibunuh tentera Israel sejak protes besar-besaran di Semenanjung Gaza bermula 30 Mac tahun lalu, manakala lebih 26,000 yang lain mengalami kecederaan.- Press TV
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!