Kedamaian terima anugerah pelancongan
KOTA KINABALU - Pusat pelancongan Kadamaian di Kota Belud, terletak kira-kira 85 kilometer dari Kota Kinabalu, mencipta kejayaan membanggakan bagi Sabah apabila buat julung kalinya terpilih menerima Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti Asean di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.
Pusat pelancongan luar bandar, yang menawarkan destinasi menarik selain panorama alam semula jadi serta kesegaran air sungai mengalir terus dari Gunung Kinabalu itu, dipilih sebagai penerima anugerah berprestij tersebut selepas memenuhi kriteria dan standard ditetapkan Sekretariat Pelancongan Asean.
Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) Walter Kandayon menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi pada Persidangan Menteri-Menteri Pelancongan Asean di Hanoi pada 18 Jan lepas.
Walter berkata pengiktirafan tersebut adalah hasil kerjasama semua pihak yang sentiasa komited memastikan pengurusan aktiviti riadah dan pelancongan di Kadamaian sentiasa cekap, perkhidmatan berkualiti dan komunikasi terbaik dengan pelancong selain terus memulihara alam sekitar.
"Ini adalah pengiktirafan antarabangsa pertama diterima KATA. Saya berharap ia menjadi motivasi kepada pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di Kadamaian untuk terus berusaha meningkatkan kecekapan dan keyakinan pelancong kerana itu sangat penting supaya lebih ramai datang ke Kadamaian.
"Kehadiran pelancong yang ramai kelak akan membantu melonjakkan ekonomi penduduk setempat, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan permintaan terhadap hasil pertanian, kraftangan dan persembahan kebudayaan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Walter berkata anugerah berprestij itu juga pastinya meningkatkan lagi semangat para pengusaha pelancongan di Kadamaian dalam melonjakkan lagi status kawasan tersebut sebagai perintis industri pelancongan luar bandar Sabah.
Pada 2017, kerajaan negeri mengiktiraf Kadamaian sebagai perintis pembangunan luar bandar Sabah.
Walter berkata KATA ditubuhkan pada penghujung 2014 bagi menyelaras pengurusan dan aktiviti semua anggota gabungan, dan setakat ini, sebanyak 65 pengusaha produk pelancongan berasaskan komuniti berdaftar dengan persatuan tersebut.
Menurutnya, Kadamaian mempunyai 74 buah kampung, dan hampir 60 peratus daripadanya telah mewujudkan pusat pelancongan komuniti, iaitu pusat riadah pelancongan diusahakan oleh komuniti setempat selain mempunyai struktur organisasi yang bertindak sebagai badan pengurusan.
"Kadamaian merupakan kawasan semula jadi menarik dan kami sedang memposisikan Kadamaian sebagai 'home to nature'. Kedudukan Gunung Kinabalu terletak antara Kundasang di Ranau dan Kadamaian di Kota Belud menambah nilai khazanah pelancongan Kadamaian termasuk sungai, hutan dan flora fauna," katanya.
Antara aktiviti riadah disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit (hiking), arung jeram (water rafting) di Sungai Kadamaian, ‘birdwatching’, ‘stargazing’, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi, katanya.
Walter berkata Kadamaian merekodkan kehadiran kira-kira 100,000 pelancong dalam dan luar negara pada 2018, meningkat berbanding 2017 yang mencatat kira-kira 80,000 pelancong.
"Kami meletakkan sasaran 10 tahun untuk menjadikan Kadamaian sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia pada 2025," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!