'Tolong cari abang saya'
BUTTERWORTH - Seorang lelaki dari Permatang Pauh meminta bantuan orang ramai untuk mencari abangnya yang hilang sejak Januari lalu.
M Arumugam, 38, berkata, abangnya, M Supramaniam, 43, ialah orang kurang upaya (OKU) dan disedari hilang selepas mendapatkan rawatan di wad Hospital Seberang Jaya pada 14 Januari lalu.
Menurutnya, abangnya dimasukkan ke dalam wad kerana mengalami masalah buah pinggang dan dibenarkan keluar dari wad selepas empat hari menerima rawatan.
Bagaimanapun katanya, abangnya yang mempunyai masalah mental itu tidak pulang ke rumah.
"Tolong cari abang saya, sudah hampir tujuh bulan dia menghilangkan diri. Kami sudah mencarinya di merata tempat tapi tidak jumpa.
"Kami sangat risaukan keadaannya tambahan dia juga perlu makan ubat mengikut jadual yang ditetapkan doktor," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini pihak hospital ada menghubungi supaya mengambil abangnya itu yang dibenarkan keluar dari wad, namun ketika itu dia berada di luar kawasan.
"Dua hari kemudian saya ke hospital untuk mencari abangnya yang dikatakan masih di hospital tapi tak jumpa.
"Abang saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 5 tahun," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Supramaniam boleh hubungi Arumugam di talian 01116428515 atau serahkan OKU itu di mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!