Penurunan peratus kemiskinan bukti polisi kerajaan PH tepat

Hasanuddin Mohd Yunos
Hasanuddin Mohd Yunos
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman Jabatan Perangkaan mengenai insiden kemiskinan mutlak dan kemiskinan tegar yang bertambah baik membuktikan bahawa polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada di landasan yang tepat.

Dalam pengumuman Jabatan Perangkaan, insiden kemiskinan mutlak mencatatkan 5.6 peratus pada 2019 berbanding 7.6 peratus pada 2016 dan kemiskinan tegar pula adalah 0.4 peratus pada 2019 berbanding 0.6 peratus pada 2016.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pengumuman Jabatan Perangkaan mengenai nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) juga tepat dan selari dengan realiti semasa.

“Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 jelas tidak lagi relevan.

“Kadar baharu ini menggunakan metodologi tahun 2019 dan ini merupakan salah satu pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan PH untuk menyemak kembali kadar serta jumlah kemiskinan negara yang sebenar.

“Pada tahun 2017 kita telah mulakan ini lebih awal bermula di Selangor dan dasar ini kita bawa di peringkat pusat, akhirnya perangkaan PGK baharu telah keluar dan lebih relevan seterusnya dasar kerajaan akan dapat disasarkan kepada kelompok rakyat yang lebih besar,” katanya.

Hasanuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, namun begitu terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan iaitu PGK perlu mengikut kawasan atau lokaliti tertentu mungkin Bandaraya Shah Alam dan Kuala Lumpur tidak sama dengan PGK di Kuching Sarawak.

“Ini penting sebab ia akan dapat membantu kerajaan merangka dasar ekonomi yang lebih bersasar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penilaian PGK perlu diperluas dengan perbelanjaan baharu masa kini yang dianggap keperluan asas contohnya ialah internet, kereta, motosikal dan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, jika pendapatan segmen teratas meningkat, median juga akan beranjak ke atas.

"Peningkatan penengah tidak semestinya kerana manfaat kepada rakyat teramai dan fokus pembangunan harus menumpu kepada menaikkan B40 serta M40.

“Tuntasnya, perkiraan PGK harus berdinamik dengan situasi semasa. Jika dalam Qawaid Fiqhiyyah (Kaedah Fiqh) khususnya dalam hal ehwal hukum ada satu kaedah popular berbunyi tidak dapat dinafikan bahawa hukum berubah apabila berubahnya zaman (situasi),” katanya.

Semalam menurut Jabatan Perangkaan, PGK disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019.

Sebelum ini PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semakan PGK itu adalah berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!