Sanggup lawan arus gara-gara takut kena saman
BUKIT MERTAJAM-Hanya kerana tidak mempunyai lesen memandu membuatkan seorang remaja nekad memecut kenderaan dan cuba melarikan diri daripada diperiksa polis dalam kejadian di kawasan Bukit Tengah di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, remaja berusia 18 tahun yang memandu Perodua Kancil bukan sahaja enggan menghentikan kenderaannya malah dia bertindak berani dengan memandu melawan arus sebelum terbabas dan merempuh kereta peronda polis yang mengejarnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kenderaan remaja itu dikesan melanggar lampu merah di persimpangan lampu isyarat Jalan Perindustrian Bukit Minyak di sini.
Menurutnya, pasukan polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan mengejar kenderaan terbabit dan mengarahkan dia berhenti namun remaja itu tidak memberi kerjasama.
"Selepas itu, polis berjaya memintas kenderaan suspek sebelum dia memperlahankan kenderaannya namun ketika anggota polis turun untuk melakukan pemeriksaan remaja itu mengundurkan kenderaannya dan cuba melarikan diri menuju ke arah Permatang Tinggi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Melihat suspek sekali lagi cuba meloloskan diri, Shafee berkata, anggota polis terbabit masuk semula ke dalam kenderaan sebelum bertembung dengan kereta suspek.
Katanya, suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian dan hasil siasatan mendapati dia bertindak demikian hanya kerana takut disaman apabila tidak mempunyai lesen memandu.
"Suspek yang bekerja sebagai mekanik ditahan untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!