Dua pemandu mabuk ditahan

Dua individu ditahan dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah di sekitar Petaling Jaya malam tadi.
Dua individu ditahan dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah di sekitar Petaling Jaya malam tadi.
A
A
A

PETALING JAYA - Kedegilan dua pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk mengundang padah apabila ditahan polis dalam operasi Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah di sekitar daerah ini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemandu itu antara 516 pengguna jalan raya yang diperiksa dalam operasi bermula jam 11 malam.

"Ujian alkohol yang dilakukan ke atas dua pemandu berusia 38 dan 43 tahun itu mendapati mereka memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

"Ini sekali gus membuktikan masih terdapat pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 16 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi terbabit turut dikeluarkan.

Menurutnya, operasi itu bertujuan untuk membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga boleh membahayakan keselamatan orang lain.

"Polis Petaling Jaya akan terus melaksanakan operasi ini terutama kepada semua pengguna jalan raya yang melalui kawasan di dalam daerah Petaling Jaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!