Tema sambutan Hari Penduduk Sedunia hargai wanita, gadis

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Foto sumber internet
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020 yang bertemakan ‘Hentikan Penularan Covid-19: Lindungi Hak dan Kesihatan Wanita dan Gadis’ dilihat bertepatan dalam menghargai golongan itu memandangkan lebih 70 peratus petugas kesihatan dan sosial merupakan wanita.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, golongan itu telah banyak berkorban masa dan tenaga serta bertungkus-lumus sebagai barisan hadapan demi memastikan kesihatan setiap penduduk dan individu terjamin daripada dijangkiti wabak tersebut.

"KPWKM dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) ingin menarik perhatian dan kesedaran semua pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu dan cabaran kependudukan di Malaysia terutamanya golongan wanita dan gadis.

"Bagi memastikan keselamatan kesihatan wanita dan gadis dilindungi, KPWKM telah mewujudkan Talian Khas Kaunseling Covid-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada wanita dan orang ramai yang terkesan akibat penularan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Menurut kenyataan itu, UNFPA menganggarkan bahawa tempoh enam bulan di dalam tempoh PKP akan menyebabkan tujuh juta kehamilan yang tidak dirancang di seluruh dunia.

"Seiring dengan usaha memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan reproduktif ketika tempoh kawalan pergerakan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bekerjasama dengan UNFPA menyediakan khidmat nasihat perancang keluarga secara dalam talian dan juga khidmat penghantaran kontraseptif kepada pelanggan terutamanya kumpulan berpendapatan rendah.

"Selain itu, pendidikan reproduktif secara dalam talian turut disampaikan kepada remaja," katanya.

Katanya, bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020, KPWKM melalui LPPKN dan UNFPA serta Pusat Pengajian Kependudukan, Universiti Malaya (UM) akan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kajian pendapat umum secara dalam talian, seminar melalui webinar pada 27 Julai ini mengenai The Social, Health and Economic Impact of Covid-19 in Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti itu akan membincangkan tentang normal baharu kehidupan termasuk kesannya terhadap sosial, ekonomi dan kesihatan reproduktif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!