Polis kenal pasti dalang isu Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR - Polis sudah mengenal pasti dalang yang dipercayai membuat hantaran berbaur hasutan terhadap bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan polis mendapati hantaran berbaur fitnah berkenaan berpunca daripada poster dibuat oleh portal muafakatnasional.net.
Menurutnya, siasatan polis mendedahkan hantaran yang menjadi fakta isu dalam kes ini adalah daripada poster yang dibuat oleh muafakatnasional.net dan bukan daripada Twitter atau Facebook Hannah Yeoh.
"Susulan itu, polis sudah merakam keterangan seorang individu untuk siasatan lanjut.
"Polis turut merampas gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik posting berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman semalam.
Abdul Hamid berkata, kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
Pada 23 Jun lalu, Hannah ditemani peguamnya, Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut disiasat berhubung satu catatan sebelum ini di Facebook yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah Timbalan Menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Hannah bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan berkenaan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!