Tottenham akan menang piala sebelum saya pergi - Mourinho
PENGENDALI Tottenham Hotspurs, Jose Mourinho menegaskan bahawa skuad berkenaan akan memenangi beberapa piala sebelum dia meninggalkannya suatu hari nanti.
Mourinho berkata, dia yakin berdasarkan prestasi semasa skuad kendaliannya itu mampu menamatkan penantian selama 12 tahun tanpa sebarang piala setelah kali terakhir mendakap trofi Piala Liga pada musim 2008 lalu.
Malah Mourinho turut memberikan contoh terhadap kejayaan Liverpool yang disifatkannya sebagai pasukan yang paling berjaya setakat ini.
"Berapa lama masa yang diperlukan oleh Jurgen (Klopp) dan Liverpool? Empat tahun, empat musim. Mereka membeli salah seorang penjaga gol terbaik di dunia, membeli seorang pertahanan terbaik di dunia dan kemudian seterusnya.
"Bagaimanapun pada ketika ini, saya memberikan fokus kepada kontrak saya selama tiga tahun ini kerana saya percaya dalam tempoh tiga tahun ini kita boleh memenangi piala.
"Sekiranya kita tidak berjaya memenanginya, tetapi kemudiannya pasukan ini memenanginya selepas ketiadaan saya, saya tetap gembira," katanya.
Untuk rekod, Mourinho menyertai Tottenham November lalu dengan kontrak selama tiga tahun bagi menggantikan Mauricio Pochettino pada awal musim.
Sementara itu Mourinho berkata, dia sentiasa bekerja untuk pasukan dan tidak hanya memikirkan mengenai kepentingan dirinya semata-mata.
Malah dia turut optimis dan percaya dirinya mampu membawa perubahan kepada pasukan tanpa perlu melibatkan jumlah pelaburan yang besar sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Saya selalu katakan bahawa saya memiliki cita-cita yang sama tetapi mungkin sebelum ini, saya tidak memberikan perhatian kepada rekod dan diri sendiri tetapi sebaliknya lebih kepada pasukan.
"Saya juga tidak percaya bahawa musim kali ini akan dipenuhi dengan pelbagai rintangan dan cabaran tetapi saya juga percaya cabaran kali ini akan berbeza," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!